Satu juta dikenakan sekatan baharu di Madrid

MADRID, 21 SEPT – Satu juta penduduk di sekitar ibu negara Sepanyol hari ini dikenakan perintah ‘duduk di rumah’ baharu untuk membendung satu lagi peningkatan koronavirus, tatkala angka kematian Amerika Syarikat (AS) mencecah 200,000.

Sekatan di Madrid akan berlangsung dua minggu bermula hari ini, menjejaskan penduduk yang tinggal di kawasan yang mempunyai populasi padat yang hanya dibenarkan mengadakan perjalanan atas sebab-sebab penting seperti bekerja, penjagaan kesihatan atau menghantar anak ke sekolah.

Semalam, orang ramai membanjiri jalan raya di beberapa daerah terjejas dalam bantahan terhadap langkah baharu itu.

Mereka memegang sepanduk berbunyi ‘Tidak kepada sekatan’ atau ‘Mereka memusnahkan daerah kami dan sekarang mereka mengurung kami.’

“Kami rasa mereka mentertawakan kami,” kata jururawat Bethania Perez, tatkala ratusan membantah menentang langkah tersebut. “Kami masih boleh pergi bekerja, dan mengunjungi kawasan lain yang tidak dikenakan sekatan, di mana kami boleh menambah kadar jangkitan dan juga masih mudah terdedah kepada jangkitan di kawasan kami sendiri.”

Pihak berkuasa di Sepanyol, di antara negara paling teruk terjejas di dunia – menegaskan langkah tersebut diperlukan kerana kes virus di daerah berkenaan adalah jauh lebih tinggi berbanding jumlah purata negara.

Jangkitan koronavirus global hampir mencecah 31 juta, dengan lebih daripada 958,000 kematian. – AFP

Polis tempatan mengawal pergerakan penduduk di tempat pemeriksaan lalu lintas di Puente de Vallecas, Madrid kelmarin. – AFP