Satu kes baharu COVID-19 dicatatkan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 SEPT – Negara Brunei Darussalam mengesahkan satu kes baharu jangkitan COVID-19 yang membawa jumlah keseluruhan kes di negara ini kepada 145 kes.

Kes 145 ialah seorang lelaki berumur 33 tahun yang tiba di negara ini dari Indonesia melalui Kuala Lumpur dengan menaiki Penerbangan Diraja Brunei BI 874 iaitu tempat duduk 32H pada 28 Ogos 2020. “Kes ini telah dikesan melalui program saringan ujian swab COVID-19 bagi sesiapa yang baru tiba ke negara ini dari luar negara,” jelas Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Yang Berhormat Dato menerangkan lanjut bahawa lelaki berkenaan tidak mengalami sebarang tanda-tanda jangkitan dan pada masa ini dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan.

Pengesanan kontak bagi kes berkenaan telah mengenal pasti 32 orang kontak yang mana kesemua kontak telah menjalani ujian swab COVID-19 di mana 26 orang daripadanya telah disahkan negatif manakala selebihnya masih menunggu keputusan ujian tersebut.

Sementara itu, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham menyatakan bahawa dua kes yang sedang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan adalah dalam keadaan baik dan stabil manakala jumlah kes yang telah sembuh setakat ini ialah seramai 139 orang.

Dalam pada itu, seramai 62 orang sedang menjalani arahan kuarantin di pusat-pusat pemantauan yang disediakan oleh kerajaan juga dalam keadaan sihat dan tidak mempunyai sebarang tanda-tanda jangkitan.

Di samping itu, seramai 476 orang sedang menjalani pengasingan diri mandatori di pusat-pusat pemantauan yang disediakan oleh kerajaan iaitu mereka yang baru tiba ke negara ini setelah melakukan perjalanan dari luar negara di mana setakat ini, seramai 5,147 orang telah menamatkan pengasingan diri mandatori di kemudahan-kemudahan berkenaan.