Satu kes import dicatat, 52 masih dirawat

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 OGOS – Satu kes import baharu jangkitan COVID-19 telah dicatatkan di negara ini setakat 12 tengah hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 kepada seramai 339 orang.

Kes 339 ialah seorang perempuan berumur 26 tahun yang tiba ke negara ini daripada Manila pada 21 Julai lalu.

Beliau tidak mengalami sebarang tanda-tanda jangkitan dan penyiasatan dan pengesanan kontak mengesahkan tidak ada kontak terdekat bagi kes tersebut, jelas Kementerian Kesihatan dalam siaran akhbarnya, hari ini. Kenyataan turut menyatakan satu kes sembuh telah dicatatkan pada hari ini, menjadikan kes yang aktif kepada 52 kes dan kesemua kes yang sedang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan adalah dalam keadaan yang baik.

Kes terakhir jangkitan tempatan COVID-19 ialah pada 6 Mei 2020 (454 hari yang lalu), di mana jumlah kes import sejak kes jangkitan terakhir tempatan dilaporkan ialah sebanyak 198 kes.

Seramai 530 orang pula sedang menjalani pengasingan diri mandatori, manakala seramai 22,958 orang telah menamatkan pengasingan diri mandatori sejak Mac 2020.

Sementara itu, dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 338 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 154,142 ujian.

Kementerian Kesihatan turut memaklumkan seramai 3,866 orang telah menerima vaksinasi pada 2 Ogos dengan seramai 169,025 telah menerima vaksin sejak Program Vaksinasi Kebangsaan bagi COVID-19 diimplementasikan pada 3 April lalu.

Daripada jumlah itu, seramai 31,680 sudah menerima dua dos manakala itu, seramai 137,345 baharu menerima dos pertama, setakat 5 petang kelmarin.

Dengan yang demikian, sejumlah 30.3 peratus penduduk telah menerima kira-kira satu dos vaksin manakala itu, sejumlah 7 peratus telah menerima dua dos vaksin.

Bagi jumlah warga emas yang menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin pula ialah seramai 23,961 orang.