WELLINGTON, 17 OGOS – New Zealand hari ini melaksanakan perintah berkurung kilat tiga hari selepas mengenal pasti satu kes positif tempatan COVID-19 disyaki varian Delta, kata Perdana Menteri Jacinda Ardern.
Ardern mengatakan New Zealand yang belum merekodkan sebarang jangkitan komuniti selama enam bulan, tidak akan mengambil langkah lewa dengan strain Delta ‘yang boleh mengubah keadaan serta merta.’
“Kita sudah melihat apa yang berlaku di mana-mana sahaja jika kita gagal menanganinya awal.
“Kita hanya ada satu peluang,” kata Ardern dalam satu perutusan disiarkan di televisyen kebangsaan.
Pemimpin New Zealand itu memetik pergelutan Australia mengekang varian mudah berjangkit itu bagi langkah ‘singkat dan mendadaknya’ selepas seorang lelaki Auckland berusia 58 tahun didiagnos dengan koronavirus daripada sumber tak diketahui.
“Lebih baik kita bermula daripada peringkat tinggi dan berwaspada, kemudian keluar daripadanya dalam keadaan selesa selepas berbuat demikian, berbanding berada dalam fasa (perintah berkurung) lebih lama,” katanya.
“Anda hanya perlu melihat Australia untuk melihat alternatifnya,” tambahnya. – AFP































