Seorang lagi disahkan positif COVID-19 meninggal dunia

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 NOV – Satu lagi kes yang disahkan positif COVID-19 di Negara Brunei Darussalam telah kembali ke rahmatullah, pada hari ini.

Menurut Menteri kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar, kes tersebut ialah seorang perempuan berumur 86 tahun.

Semasa sidang media di Kementerian Kesihatan, hari ini, Yang Berhormat Dato menjelaskan, kes tersebut telah mengalami beberapa masalah kesihatan dan tidak dikategorikan sebagai kematian di-sebabkan COVID-19. Sehubungan itu, Negara Brunei Darussalam kekal mencatatkan jumlah kes kematian yang disebabkan oleh COVID-19 seramai 54 orang.

Di kesempatan itu, Yang Berhormat Menteri Kesihatan mewa-kili warga Kementerian Kesihatan dan keseluruhan rakyat Negara Brunei Darussalam mengucapkan takziah kepada keluarga kes berkenaan.

“Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para solihin. Al-Fatihah,” tambah beliau.