Satu lagi kes positif COVID-19 dicatat

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 OGOS – Satu lagi kes baharu jangkitan COVID-19 telah dicatatkan hari ini dengan menjadikan jumlah keseluruhan kes virus di Negara Brunei Darussalam meningkat kepada 143 orang.

Pengumuman kes positif baharu itu diumumkan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-’Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Yang Berhormat Dato menerangkan bahawa kes 143 ialah seorang wanita berumur 31 tahun yang tiba di Brunei Darussalam dengan penerbangan Diraja Brunei BI874 pada 12 Ogos lalu melalui Kuala Lumpur dari Timur Tengah.

Kes itu telah dikesan melalui program saringan ujian swab COVID-19 bagi sesiapa yang baharu tiba di negara ini dari luar negara.

Beliau tidak mempunyai sebarang tanda-tanda jangkitan dan pada masa ini, sedang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan.

Kementerian Kesihatan telah mengenal pasti seramai 42 orang kontak di mana 34 orang daripadanya telah menjalani ujian swab COVID-19 dan disahkan negatif manakala selebihnya masih menunggu keputusan ujian.

Yang Berhormat Dato menyatakan lagi bahawa kesemua kontak sedang menjalani kuarantin di bawah Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan juga memaklumkan bahawa pada 17 Ogos lalu, kes 142 telah pun dikeluarkan dari Pusat Pengasingan Kebangsaan setelah sembuh dan disahkan negatif ujian COVID-19.

Di samping itu, seramai 639 orang sedang menjalani pengasingan diri mandatori di pusat-pusat pemantauan yang disediakan oleh kerajaan di mana jumlah keseluruhan mereka yang telah menamatkan pengasingan diri mandatori sejak Mac 2020 ialah 4,366 orang.

Manakala itu, dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 555 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 49,399 ujian.

Kementerian Kesihatan juga menekankan dan mengingatkan kepada orang ramai untuk terus-menerus mematuhi segala arahan yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan serta mengamalkan tanggungjawab sosial masing-masing dengan mengamalkan kebersihan diri, etika bersin yang betul, digalakkan memakai penutup hidung dan mulut apabila berada di tempat-tempat awam yang penuh sesak dan jika merasa kurang sihat, untuk tidak menghadirkan diri ke tempat-tempat awam dan majlis-majlis keramaian.

Di samping itu, orang ramai juga digalakkan menggunakan aplikasi BruHealth dan mengimbas kod QR setiap kali masuk dan keluar dari premis terutama di tempat-tempat awam seperti gedung perniagaan, kedai runcit, restoran, salon kecantikan, kedai gunting dan lain-lain.

Oleh yang demikian, pengurus-pengurus premis berkenaan dinasihatkan untuk mencetak dan memaparkan kod QR di tempat masuk masing-masing.

Orang ramai juga disyorkan untuk mengambil serius dalam penggunaan aplikasi BruHealth terutama dalam mengimbas kod QR kerana ia adalah penting dalam membantu Kementerian Kesihatan melaksanakan pengesanan kontak dengan segera, jika berlaku sebarang penularan jangkitan.

Bagi orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut dan bagi perkembangan terkini, mereka boleh melayari laman sesawang Kementerian Kesihatan, www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi healthinfo.gov.bn.