Satu lagi pencapaian penting

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 OKT – Projek Jambatan Temburong mencatatkan satu lagi pencapaian khususnya bagi Kontrak Pakej CC3 iaitu Jambatan Navigasi – Single Tower Cable Stayed Bridge apabila lambang menara di atas menara pertama dipasang, pagi tadi.

Hadir menyaksikan pemasangan lambang tersebut ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi bin Haji Gafar; Menteri Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mat Suny bin Haji Mohd Hussein; Pemangku Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua; Dato Seri Paduka Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman dan Timbalan Menteri Pembangunan, Dato Seri Paduka Ar Haji Marzuke bin Haji Mohsin.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional) di Kementerian Pembangunan, Ir Haji Amer Hishamuddin bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Haji Zakaria dan Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Haji Muhammad Nazri bin Haji Mohammad Yusuf serta para pegawai dari Kementerian Pembangunan.

Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid Kampung Sungai Besar, Pengiran Haji Mohd Sallehin bin Pengiran Tejudin diikuti penerangan ringkas mengenai aktiviti pemasangan ciri utama oleh Pengurus Projek Pakej CC3, Kim Ho Young dari kontraktor utama Daelim-Swee Joint Venture.

Kim Ho Young menerangkan bahawa lambang berbentuk bulan sabit dan bintang berukuran 4 meter lebar dan 6.6 meter tinggi dengan berat 2.6 tan itu dipasang di atas menara pertama Jambatan Navigasi yang merentasi Laluan Perkapalan Brunei. Bentuk bulan sabit dan bintang adalah antara ciri-ciri Islam yang diserapkan di dalam reka bentuk jambatan tersebut.

Sebelum pemasangan lambang menara dimulakan, Doa Selamat dibacakan oleh Pengiran Haji Mohd Sallehin. Selain ciri tersebut, kalimah Subhanallah; Alhamdulillah dan Allahu Akbar juga dipasang pada setiap menara berkenaan.

Pemasangan lambang menara akan diteruskan pada dua lagi menara Jambatan Navigasi merentasi Laluan Perkapalan Timur nanti.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mat Suny, Dato Seri Paduka Haji Ahmaddin dan Dato Seri Paduka Ar Haji Marzuke ketika menyaksikan pemasangan lambang menara berkenaan, kelmarin.
Lambang menara berjaya dipasang di atas menara pertama Jambatan Navigasi bagi Kontrak Pakej CC3 Jambatan Temburong.