Satu maut, 12 cedera kejadian amuk di pasar raya

WASHINGTON, 24 SEPT – Seorang lelaki melepaskan tembakan di sebuah pasar raya berhampiran Memphis, Tennessee, semalam, menyebabkan sekurang-kurang seorang terkorban dan 12 lagi cedera.

Menurut polis, penyerang terbabit dipercayai kemudian menembak mati dirinya. Kejadian amuk itu berlaku di sebuah premis runcit Kroger di pekan pinggir bandar, Collierville yang terletak di timur Memphis.

“Seorang mangsa terbunuh, manakala penyerang turut mati dipercayai akibat tembakan sendiri,” kata Ketua Polis Collierville, Dale Lane, kepada pemberita.

Lane berkata beberapa mangsa dilaporkan mengalami kecederaan parah, dan angka korban tragedi itu berkemungkinan akan meningkat.

Katanya, pelbagai pihak berkuasa meliputi pasukan khas SWAT dikerahkan ke lokasi insiden, dengan polis segera membantu pekerja serta pengunjung pasar raya itu untuk keluar dari premis terbabit dengan selamat.

Beliau berkata ada dalam kalangan mereka ditemui menyorok dalam peti sejuk dan pejabat yang dikunci. – AFP