Satu maut, 3 cedera ditikam di pusat membeli-belah

BEAVERTON, 19 DIS – Seorang penyerang berusia 20 tahun melakukan siri tikaman dan rompakan kenderaan di sebuah pusat membeli-belah di pinggir bandar Portland dan di bandar berdekatan kelmarin, membunuh seorang dan mencederakan tiga yang lain sebelum ditangkap, kata pihak berkuasa.

Polis di bandar Beaverton berkata dua orang telah ditikam di dalam bank Wells Fargo dan seorang lelaki ditikam di gim di pintu sebelah.

Selepas menikam, penyerang itu mencuri kereta lelaki itu dan memandu ke pinggir bandar Tigard, di mana dia turut mencuri kereta wanita lain dan menikamnya, pegawai Matt Henderson berkata dalam sidang akhbar. Dia akhirnya keluar dari kereta dan cuba melarikan diri sebelum berjaya ditangkap, kata polis.

Mangsa wanita yang terbunuh merupakan pelanggan bank, jurucakap Wells Fargo, David Kennedy berkata. Seorang lagi wanita cedera parah di sana, dan kedua-dua mangsa yang kereta mereka dicuri turut mengalami cedera parah, kata pihak berkuasa.

“Ini adalah jenayah yang mengerikan dan kita turut berdukacita atas yang dialami mangsa dan keluarga mereka,” kata ketua polis Beaverton, Ronda Groshong kepada wartawan.

“Kes ini masih dalam siasatan dengan beberapa adegan jenayah. … Ia akan mengambil sedikit masa untuk diproses.”

Polis Beaverton mengenal pasti penyerang itu sebagai Salvador Martinez-Romeo menurut The Oregonian/Oregonlive.

Dia kini ditahan kerana disyaki membunuh, cuba laku pembunuhan dan rompakan. Tidak ada maklumat lanjut diketahui jika dia diwakili peguam. Pihak polis tidak mengeluarkan sebarang maklumat mengenai motif serangan itu. – AP