Satu maut, lima cedera insiden tembakan di Seattle, AS

WASHINGTON, 23 JAN – Seorang terbunuh manakala lima lagi cedera dalam satu insiden tembakan rambang di pusat bandar Seattle, Amerika Syarikat.

Agensi berita Sputnik memetik akhbar The Seattle Times, melaporkan pada Rabu malam polis bandar raya itu berkata kejadian menyebabkan seorang maut dan ‘beberapa mangsa’ cedera dan penyerang telah melarikan diri.

Kemudian, polis bandar raya itu telah mengesahkan jumlah bilangan mangsa yang cedera seperti dilaporkan akhbar.

“Detektif menjalankan siasatan selepas enam orang cedera akibat ditembak, seorang maut. Suspek melarikan diri dari tempat kejadian,” tulis Jabatan Polis Seattle di Twitter.

Menurut penyiar KIRO 7, tujuh cedera dalam kejadian itu, termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun dan seorang wanita 55 tahun, dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.

Kejadian berlaku tidak jauh dari ibu pejabat baharu korporat Amazon. – Bernama