Satu maut pesawat tentera Kanada terhempas

TORONTO, 18 MEI – Seorang anggota pasukan aerobatik tentera udara elit Kanada, Snowbirds, maut dan seorang lagi cedera apabila pesawat mereka terhempas di British Colombia, semalam, ketika mengadakan pertunjukan sebagai penghormatan terhadap usaha awam memerangi COVID-19, kata tentera.

Menurut media tempatan, pesawat itu terhempas ke halaman sebuah rumah sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Kamloops bersama sebuah lagi pesawat, lewat pagi semalam.

“Dengan berat hati, kami mengumumkan bahawa seorang anggota pasukan CF Snowbirds maut dan seorang lagi parah,” tulis Tentera Udara Diraja Kanada (RCAF) di Twitter malam tadi. Mangsa yang terbunuh dikenal pasti oleh media Kanada sebagai Kapten Jenn Casey, Pegawai Perhubungan Awam dengan Tentera Udara.

Menurut saksi, juruterbang berjaya melantunkan diri keluar dari pesawat itu dengan payung terjun sebelum ia terhempas. Juruterbang itu dilaporkan mendarat di atas bumbung sebuah rumah dan dilihat mengalami kecederaan pada leher dan belakang tubuh.

Berdasarkan video dirakam orang awam, bangkai pesawat kelihatan terbakar di hadapan sebuah rumah. Penduduk pula berkumpul untuk mengetahui kejadian yang berlaku.

Anggota kecemasan membantu seorang individu di atas bumbung di tempat nahas yang membabitkan kapal terbang Tentera Kanada Snowbirds di Kamloops, British Colombia pada 17 Mei 2020. – AP

Laporan CBC memetik seorang saksi, Nolyn Mcleod, sebagai berkata pesawat itu melintasi kira-kira tiga meter dari bumbung rumahnya. “Kami melihat juruterbang melantunkan diri keluar mungkin setinggi kira-kira dua tingkat.

“Pesawat tanpa juruterbang itu kemudian terhempas antara rumah jiran dan saya sebelum akhirnya merempuh tingkap bilik tidur jiran.

“Keadaan betul-betul huru-hara. Orang menjerit dan berteriakan. Kami sangka telah dibom atau dilanda sesuatu,” katanya.

Kedua-dua pesawat terbabit dijadualkan terbang melintasi British Colombia sebagai sebahagian daripada program dipanggil ‘Operasi Inspirasi’ yang dilancarkan awal bulan ini sebagai penghormatan kepada usaha rakyat Kanada memerangi pandemik COVID-19. – AFP