MOSCOW, 9 DIS – Seorang maut dalam kebakaran yang membabitkan saiz sebesar padang bola sepak yang berlaku di pusat beli-belah dan hiburan mega di pinggir bandar utara Moscow, malam kelmarin.
Berikutan kemalangan itu, pasukan bomba bertungkus-lumus memadamkan kebakaran seluas 7,000 meter persegi yang berlaku di wilayah Moscow, kata Kementerian Situasi Kecemasan Rusia melalui aplikasi Telegram.
Media Rusia kemudiannya melaporkan seorang mangsa terbunuh akibat kebakaran di Pusat Beli-belah Mega Khimki, kira-kira tujuh kilometer dari Lapangan Terbang Sheremetyevo Moscow.
Lebih 70 anggota bomba dan 20 trak pemadam api giat memadamkan kebakaran pusat beli-belah itu, kata Perkhidmatan Kecemasan, sambil mengatakan kerja memadamkan kebakaran memakan masa berikutan reka bentuk bangunan.
“Disebabkan bumbung runtuh, kebakaran merebak dengan cepat ke kawasan yang lebih luas,” kata Perkhidmatan Kecemasan Wilayah Moscow di Telegram. – AFP