WASHINGTON, 11 April – Serangan Amerika Syarikat ke atas sebuah pangkalan udara Syria memusnahkan satu perlima baki pesawat tempur rejim Damsyik, kata Setiausaha Pertahanan AS, Jim Mattis, hari ini ketika Washington mengeluarkan amaran baru kepada Presiden Bashar al-Assad.
Penilaian umum serangan peluru berpandu pada Jumaat lalu dan retorik baharu itu dikeluarkan ketika menteri tujuh negara maju (G7) berhimpun di Itali untuk menghantar mesej jelas dan selaras kepada Rusia ekoran sokongannya terhadap Damsyik.
Jumaat lalu, AS melancarkan 59 peluru berpandu Tomahawk menyasarkan pangkalan udara Shayrat berhampiran Homs yang didakwa Pentagon lokasi jet digerakkan untuk melancarkan serangan kimia di wilayah pemberontak di Idlib.
“AS tidak akan hanya melihat Assad membunuh penduduk termasuk kanak-kanak yang tidak bersalah dengan senjata kimia, yang diharamkan undang-undang antarabangsa dan sudah diisytiharkan musnah,” kata Mattis dalam satu kenyataan sambil mengesahkan bahawa 20 peratus pesawat Assad yang masih boleh beroperasi, musnah dalam serangan itu. – AFP