Oleh Yusrin Junaidi
Gambar oleh Bahyiah Bakir
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 April – Israk dan Mikraj bukanlah hanya sekadar peristiwa, ia merupakan sejarah yang dapat diambil iktibar dan meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik.
Peristiwa Israk dan Mikraj memperlihatkan pelbagai kejadian yang penuh dengan pengajaran dan seharusnya memberi keinsafan kepada seluruh umat islam yang beriman kepada Allah S.W.T dan takut akan kekuasaan-Nya.
Perkara berkenaan adalah antara inti pati ceramah khas yang disampaikan oleh Daie Bertauliah dari Majlis Ugama Islam Brunei, Awang Hilman bin Haji Salim pada Majlis Israk dan Mikraj Kementerian Kewangan dan jabatan-jabatan di bawahnya di dewan teater kementerian berkenaan, hari ini.
Setiausaha Tetap di Kementerian Kewangan, Awang Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman hadir selaku wakil tetamu kehormat, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan II, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim,


Turut hadir ialah para pegawai kanan dan kakitangan di Kementerian Kewangan.
Ceramah khas bertajuk ‘Israk dan Mikraj: Bukan Sekadar Peristiwa’ itu juga menyentuh mengenai pengajaran-pengajaran yang diperolehi oleh Nabi Muhammad S.A.W dalam peristiwa Israk dan Mikraj berkenaan.
Majlis Ceramah Khas Sambutan Israk dan Mikraj pada tahun ini dikelolakan oleh Tabung Amanah Pekerja.
Terdahulu majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh kakitangan kementerian dan ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Pemangku Pengarah Urusan Tabung Amanah Pekerja, Dayang Suraya binti Haji Jaidin.
Menurut beliau majlis sambutan berkenaan merupakan salah satu aktiviti keagamaan tahunan sempena Sambutan Israk dan Mikraj.