Saudi jemput jemaah Iran tunai haji tahun ini

JEDDAH, 12 Jan – Iran yang memboikot ibadat haji tahun lalu, dijemput menghantar jemaahnya untuk menunaikan haji tahun ini.

Pihak berkuasa Iran mengakui menerima surat jemputan dan berkata, mereka bersedia membincangkan isu berkaitan haji bersama pentadbiran diraja Arab Saudi.

Portal berita Saudi Gazette memetik satu sumber sebagai berkata, Arab Saudi mengulangi, ia mengalu-alukan semua jemaah haji dan umrah tidak kira bangsa atau mazhab.

Katanya, peraturan haji terpakai sama rata terhadap semua jemaah termasuk rakyat Iran, tanpa sebarang jurang.

Sumber berkata, Kementerian Haji menghantar surat sama kepada 80 negara meminta mereka menghantar wakilnya ke negara itu bagi membincangkan urusan haji bagi pihak jemaah.

Gambar fail pada pada 5 Jun 2008 menunjukkan seorang jemaah Iran (tengah) berdoa di hadapan Kaabah di dalam Masjidil Haram di Makkah. Iran yang memboikot ibadat haji tahun lalu, dijemput menghantar jemaahnya untuk menunaikan haji tahun ini. – AFP
Gambar fail pada pada 5 Jun 2008 menunjukkan seorang jemaah Iran (tengah) berdoa di hadapan Kaabah di dalam Masjidil Haram di Makkah. Iran yang memboikot ibadat haji tahun lalu, dijemput menghantar jemaahnya untuk menunaikan haji tahun ini. – AFP

Iran tahun lalu enggan menandatangani dokumen berhubung pengurusan haji apabila meminta jemaahnya dibenarkan menganjurkan perhimpunan dan bantahan yang sama sekali ditolak Arab Saudi.

Iran dengan itu menghalang lebih 60,000 jemaahnya daripada mengerjakan haji tahun lalu. Bagaimanapun, lebih 700 rakyat Iran yang menetap di Amerika Syarikat (AS), Eropah dan negara lain masih menunaikan haji tahun lalu.