Saudi lantik wanita jadi pegawai kanan pentadbiran dua masjid suci

ANKARA, 9 OGOS – Arab Saudi melantik dua wanita memegang jawatan kanan dalam pengurusan pentadbiran dua masjid suci, lapor Agensi Anadolu (AA) hari ini, memetik media tempatan.

Al-Anoud Al-Aboud dan Fatima Al-Rashoud dilantik sebagai pembantu kepada Presiden Ketua Umum Hal Ehwal Dua Masjid Suci, Sheikh Abdulrahman Al-Sudais, lapor portal Arab News. Kedua-dua wanita itu memiliki ijazah kedoktoran.

Turut dilantik menjawat pegawai kanan, Kamelia Al-Daadi sebagai penolong setiausaha di jabatan pentadbiran dan perkhidmatan wanita.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Arab Saudi mengamalkan dasar untuk memperkasakan wanita dan membolehkan golongan itu memegang jawatan kanan di institusi kerajaan.

Tenaga kerja wanita di negara yang kaya dengan minyak itu menyaksikan peningkatan ketara, mencecah sekitar 33 peratus pada 2020, berbanding 20 peratus pada 2018, menurut Brookings Institution. – Bernama