AMERIKA SYARIKAT – Setelah beberapa tahun, Molly Carpenter dan juga sepupunya merancang untuk melakukan lawatan ke sebuah lokasi yang tidak pernah dikunjungi sebelum ini.
Keutamaan lawatan mereka berdua adalah memfokuskan tentang makanan, membeli-belah, bersiar-siar dan banyak lagi. Pada tahun ini, Molly dan sepupunya merancang untuk pergi ke Savannah dan mereka berdua merasa yakin bahawa Savannah mampu memberikan kesemua keutamaan lawatan mereka.
Savannah terletak di kawasan Pantai Atlantik, Georgia, iaitu sebuah kawasan selatan yang bersempadan dengan wilayah South Carolina dan memakan masa selama setengah jam pemanduan dari Tybee Island, Georgia.
Molly dan juga sepupu sering membincangkan mengenai sejarah Savannah di mana sahaja mereka berada sehinggalah mereka berdua berada di kawasan itu dan menyaksikan sendiri keindahan yang ditawarkan oleh Savannah.
Savannah mempunyai dua batu persegi kawasan dan memakan masa selama berjam-jam untuk meneroka kesemua kawasan daerah ini. Disebabkan itu, Molly menyewa sebuah kereta untuk meneroka keseluruhan kawasan daerah ini.
Gastronomi dan sejarah
Semasa meneroka kawasan ini, Molly telah berhenti sebanyak 12 pusat perhentian dan berpeluang menyaksikan akan keindahan yang ditawarkan oleh daerah ini dan ternyata, Savannah merupakan satu destinasi yang baik untuk mereka yang suka mencuba hidangan makanan yang pelbagai dan juga pusat-pusat sejarah.
Di hari yang seterusnya, Molly dan juga sepupu bersama dengan pelawat-pelawat yang lain dibawa mengunjungi sebuah restoran terkenal di daerah itu dan lawatan selama tiga jam itu memberikan satu peluang kepada pengunjung untuk menikmati dan merasakan sendiri hidangan lazat yang terkenal di daerah berkenaan.
Daging-daging lembu dan kambing dimasak dengan cara BBQ, sosej dengan sos istimewa dan roti croissant keju pimento antara hidangan yang ditawarkan di kawasan ini malah menu-menu ini sentiasa mendapat tempat utama di kalangan menu-menu di setiap restoran di Savannah.
Tidak seperti beberapa bandaraya Selatan yang lain yang penah dilanda peperangan saudara, Savannah masih mengekalkan pesona antebellum yang menakjubkan.
Tapak-tapak bersejarah sentiasa memenuhi setiap kawasan di Savannah termasuk sebuah tapak sejarah yang dikenali sebagai Fort Jackson, kubu tertua di Georgia.
Rumah Hijau – Meldrim Savannah yang mana turut ditandai sebagai National Historic Landmark pernah digunakan oleh Jeneral William Tecumseh Sherman sebagai ibu pejabat Kesatuan Tentera pada bulan Disember 1864, di mana ketika itu, Sherman menawarkan Presiden Abraham Lincoln, Savannah sebagai sebuah kota hadiah Krismas untuknya.
Di daerah bersejarah ini, dianggarkan terdapat 22 dataran yang menawarkan pelbagai jenis monumen kepada penduduk-penduduk tempatan dan sangat terkenal.
Setiap dataran ini terpelihara dengan begitu baik sekali malah akan kelihatan setiap beberapa blok bangunan.
Molly dan juga sepupu berpeluang untuk berehat dan duduk di atas bangku di kawasan air pancut di bawah pokok-pokok oak yang mencirikan budaya Sepanyol.
The Savannah College of Art and Design merupakan sebuah kolej seni dan reka bentuk yang telah banyak melahirkan artis seni dengan kerja-kerja seni mereka yang terkenal dan disebabkan oleh itu, kebanyakan reka bentuk infrastruktur dan seni dihasilkan oleh lepasan pelajar daripada kolej ini.
Salah seorang bekas pelajar dari kolej berkenaan, Allyson Burke telah mencipta keindahan mural hasilnya sendiri dan kini telah membuka sebuah restoran pizza di kawasan berkenaan.
Pelancongan yang pesat
“Kami sebenarnya tidak ikut serta dalam beberapa sesi lawatan termasuk lawatan ke sebuah galeri penulis John Berendt dengan hasil bukunya yang bertajuk Midnight in The Garden of Good and Evil. Buku ini dihasilkan pada tahun 1994 dan telah menerima respons yang menggalakkan daripada orang ramai.
Malah disebabkan oleh buku ini, ia sedikit sebanyak telah membantu Savannah terkenal dalam peta pelancongan tempatan dan telah berjaya menarik jumlah pengunjung yang tidak dijangka selama lebih dari dua dekad,” tambah Molly kepada wartawan media.
Sungai Savannah yang bersempadan dengan bahagian utara daerah bersejarah itu telah membahagi kawasan Georgia dan juga South Carolina. Kawasan ini turut menawarkan pusat pelancongan yang hebat di mana para pengunjung boleh menaiki Riverboats dan menelusuri sungai serta melewati Old Fort Jackson di mana tapak ini pernah menjadi pelabuhan terkenal AS pada satu ketika dahulu. Selain itu, makanan laut Savannah amat segar dan juga lazat. “Kami memakan sup kepiting, udang dan bubur jagung serta kerang laut yang besar. Kami makan tengah hari di sebuah restoran, The Olde Pink House, iaitu sebuah restoran dan juga sebuah rumah yang dibina sekitar abad ke-18 dan ia sangat menakjubkan,” kata Molly lagi kepada media.
“Selain melewati pusat-pusat sejarah dan gastronomi daerah ini, kami juga berpeluang untuk membeli-belah. Kami berkesempatan untuk berkenalan dengan seorang pengusaha tempatan, yang menjual pelbagai jenis barang.
Malah bandar ini juga mempunyai beberapa blok bangunan pusat membeli-belah yang inovatif di mana pasar raya, galeri dan pusat-pusat peranginan bergabung menjadi sebuah bangunan.
Ini memberikan kami satu keselesaan dengan hanya perlu meneroka sebuah tempat untuk mencari dan membeli apa yang Savannah mampu berikan,” tambah Molly mengakhiri temu ramah bersama media. – AP