Sawang labah-labah selubungi Grippsland

SYDNEY, 22 JUN – Serangan araknid di Gippsland, Australia menyebabkan beberapa bahagian di wilayah itu dipenuhi sarang labah-labah ketika haiwan itu mencari kawasan tinggi untuk menyelamatkan diri daripada banjir.

Gippsland yang dilanda banjir awal bulan ini, dipenuhi lautan sawang labah-labah sheetweb yang kebiasaannya hidup di atas tanah, tetapi terpaksa mencari tempat berlindung, kata pakar ekologi University of Sydney, Dieter Hochuli.

“Apabila kita dilanda hujan sebegini yang lebat dan banjir, haiwan ini yang biasanya tinggal di atas tanah terpaksa bertindak sama seperti yang kita lakukan, iaitu mencari tempat tinggi,” katanya kepada Channel 7.

Labah-labah diketahui akan melepaskan sawang untuk digunakan sebagai payung terjun dan mengubah lokasi menggunakan angin, dalam fenomena yang dikenali sebagai ‘penggelembungan’.

Sekurang-kurangnya dua orang maut dalam banjir tersebut di Victoria awal bulan ini selepas beberapa bahagian negara itu dilanda kemarau teruk dan kebakaran beberapa tahun kebelakangan ini selain diserang tikus baru-baru ini. – AFP

Sawang labah-labah yang berbentuk gelembung kelihatan di Grippsland, Australia. – Gambar dipetik dari media sosial.