Sawit terus diperjuangkan

KUALA LUMPUR, 13 Mac – Aduan kepada Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan gesaan supaya mengkaji semula hubungan negara anggota Asia Tenggara (ASEAN) dengan Kesatuan Eropah (EU) adalah antara tindakan drastik yang akan diambil sekiranya EU terus melakukan diskriminasi terhadap minyak sawit, kata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Timbalan Menteri berkenaan Ong Kian Ming berkata selaku negara anggota WTO, Malaysia mempunyai pilihan untuk membawa isu diskriminasi terhadap minyak sawit ke peringkat badan penyelesaian pertikaian pertubuhan dunia itu.

“Bagaimanapun, ini hanya dapat dilakukan setelah kaedah pelaksanaan dan peraturan terbaharu berkenaan (isu) diterbitkan dengan lebih jelas oleh pihak EU bagi membolehkan negara WTO yang terjejas, menilai dengan lebih teliti aspek-aspek yang bercanggah dengan peraturan WTO.

“Malaysia dan Indonesia juga telah mendapatkan kerjasama anggota ASEAN bagi menggesa supaya peringkat hubungan ASEAN dan EU ditangguhkan daripada status rakan dialog kepada perkongsian strategik sehingga isu larangan minyak sawit ini diselesaikan ,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada persidangan Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed, yang bertanyakan mengenai langkah terbaharu kerajaan bagi menangani isu diskriminasi EU terhadap eksport minyak sawit.

Mustapa yang merupakan bekas menteri MITI dilaporkan pernah berkata bahawa tindakan EU mengecualikan minyak sawit daripada campuran bahan api bio dan tenaga boleh baharu menjelang 2021 sebagai berpotensi untuk pelanggaran peraturan WTO.

Ong berkata, selain meneliti aspek-aspek yang bercanggah dengan peraturan WTO, inisiatif lain yang telah dilakukan oleh kerajaan diperingkat WTO ialah mewujudkan gabungan yang dikenali sebagai Rakan Minyak Sawit (FPO) di Geneva, Switzerland bermula April 2017 – Bernama