I Say Yatta sumbang telefon pintar

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 APRIL – Sekolah Rendah Lambak Kanan Jalan 49, hari ini, telah menerima dua telefon pintar sumbangan I Say Yatta yang telah disampaikan pada majlis yang berlangsung di sekolah berkenaan.

Sumbangan yang diserahkan oleh Pengurus Besar I Say Yatta, Awang Saiful Zamhor kepada Guru Besar, Hajah Noorliah binti Haji Aspar yang juga pegawai kanan pelajaran itu dilengkapi dengan dua kad SIM termasuk kad pra bayar bernilai $20 setiap satu.

Hajah Noorliah melahirkan ucapan terima kasih atas sumbangan yang diberikan itu dalam membantu pelajar Tahun 6 yang akan menduduki Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR).

Beliau seterusnya menjelaskan, telefon berkenaan akan digunakan untuk dua orang pelajar Tahun 6 yang sudah dikenal pasti dan benar-benar memerlukan yang mana dengan adanya telefon pintar itu nanti akan melancarkan dan memudahkan lagi pihak sekolah terutama guru-guru untuk berkomunikasi bersama mereka.

Pelajar yang dikenal pasti berkenaan ialah daripada keluarga kurang berkemampuan selain mendapat bantuan daripada Kementerian Pendidikan di bawah Miftahun Najah.

“Telepon pintar yang dipinjamkan oleh pihak sekolah ini akan dibuat perjanjian bersama ibu bapa pelajar yang menyatakan kemudahan telefon pintar ini adalah dikhususkan untuk keperluan sekolah saja,” tambahnya.

Beliau seterusnya berharap dengan adanya sumbangan itu, ia akan dapat sedikit sebanyak meringankan beban mereka dan memudahkan terutama ibu bapa berinteraksi dengan guru-guru seterusnya murid-murid akan dapat mengikuti apa juga pelajaran yang diberikan oleh guru mereka.

Manakala itu, bagi pihak I Say Yatta pula, sumbangan yang dihulurkan itu adalah sebagai tanggungjawab kepada masyarakat terutama dalam negara berhadapan dengan pandemik COVID-19 ini. Di samping menghulurkan sumbangan seumpamanya, I Say Yatta turut giat menyumbangkan makanan kepada petugas perubatan barisan depan sebagai memberi sokongan kepada kerajaan.

Pengurus Besar I Say Yatta menyerahkan sumbangan telefon pintar kepada Hajah Noorliah.