Saya akan pergi – Griezmann

MADRID, 15 Mei – Penyerang Perancis, Antoine Griezmann memberitahu Atletico Madrid bahawa dia akan pergi pada musim tertutup ini, menurut kelab Sepanyol itu.

Griezmann, 28, mempunyai kontrak hingga 2023 bersama Atletico, tetapi mempunyai klausa beli sebanyak 120 juta dan telah menjadi sasaran dari pesaing La Liga, Barcelona.

“Antoine Griezmann memberitahu kelab bahawa dia tidak akan memakai jersi Atletico lagi musim depan,” menurut kelab itu di Twitter.

Tidak lama kemudian, pemain itu memuat naik video bagi menjelaskan keputusannya itu.

“Selepas bercakap dengan Cholo (jurulatih Diego Simeone), kemudian dengan Miguel Angel dan beberapa orang dalam hierarki kelab, saya mahu bercakap dengan anda, para penyokong, yang sentiasa memberikan saya kasih sayang,” kata Griezmann.

“Saya mahu memberitahu anda bahawa saya memutuskan untuk pergi,” kata pemenang Piala Dunia 2018 bersama Perancis itu.

“Saya mempunyai lima tahun yang hebat di sini dan anda sentiasa dalam hati saya,” kata penyerang yang terkenal melakukan tarian setiap kali menjaringkan gol.

Dengan 133 gol dalam 252 perlawanan di Atletico, penyerang itu sentiasa beraksi dan terlibat dalam sebahagian besar musim kerana dia jarang cedera. – AFP

Griezmann meraikan jaringannya dalam aksi Liga Juara-Juara menentang Roma pada 22 November 2017. – AP