Saya bukan takut tua – Amelina

Tindakan penyanyi jolokan Ratu Dangdut, Amelina, 47, berkongsi video proses rawatan wajah yang agak mengerikan dalam laman Instagram (IG) mengundang pelbagai reaksi warga warganet.

Perkongsian Amelina ketika proses rawatan tanam benang atau ‘threadlift’ pada rahang dan hidung membuatkan ramai tidak senang duduk, ngeri dan kecut perut apabila melihat wajahnya dicucuk menggunakan jarum untuk memasukkan benang sehingga berlumuran darah.

Ada yang melemparkan tuduhan Amelina atau nama sebenarnya, Norazlina Amir Sharipuddin seperti mengubah ciptaan Tuhan dan melanggar hukum agama.

Bagaimanapun, penyanyi lagu Rindu dan Asyik itu mempunyai ada alasan yang tersendiri. Enggan terus dihentam, Amelina menjelaskan rawatan dilakukan bukan mengubah rupa bentuk, sebaliknya proses membaiki struktur wajahnya.

Sebelum ini, ibu kepada enam cahaya mata itu puas menerima hinaan, dikatakan selekeh, tidak pandai menjaga ‘level’, gemuk dan sudah tua.

Tindakan Amelina berkongsi video proses rawatan wajah yang agak mengerikan di Instagram mengundang pelbagai reaksi warga warganet. – Agensi

Mengulas perasaan dituduh mengubah ciptaan Tuhan, Amelina berkata, dia suka bersikap telus dalam soal ini.

“Saya kongsi video kerana ingin awda melihat sama ada rawatan ini menggunakan pisau, kulit hidung dibuang, pipi dan rahang dikikis. Apabila siap, wajah akan berubah menjadi lain. Itu memang patut dikatakan mengubah ciptaan Tuhan.

“Lihat hidung saya sebelum dan selepas, adakah berubah? Pipi saya menjadi lebar seperti pinggan ketika usia meningkat selepas kolagen dalam kulit sudah tiada untuk menganjalkan.

“Jadi, teknik rawatan ini menarik isi kulit dengan penggunaan benang, bukan tali rafia atau jenis tali lain. Benang menggalakkan pembentukan kolagen untuk terus menganjalkan kulit.

“Tambah pula, saya berjaya menurun berat badan, jadi kulit muka perlu dianjalkan. Jujurnya, saya mahu tua dalam keadaan elok, tidak sampai gerun melihat wajah sendiri,” katanya kepada media.

Wanita kelahiran Nilai, Negeri Sembilan itu berkata, dia tidak mahu jadi plastik seperti orang cantik yang enggan berkongsi. Kononnya, nak berahsia, malah jawab kesan air wuduk dan minum air kosong.

Ditanya kenapa sanggup melakukan rawatan mengerikan, Amelina berkata, mukanya tidak biasa terdedah buat rawatan, cuma berat badan sahaja bertambah, jika tidak dijaga. Dijolok adakah takut tua hingga sanggup buat rawatan sebegini, Amelina sedar diri, usianya semakin meningkat.

Amelina mengakui, memang kos sekali rawatan ibarat boleh beli set penjagaan kulit.

“Namun, saya melakukannya dengan harga promosi. Buat sekali rawatan sudah nampak hasil, jadi tinggal jaga sahaja.

“Saya guna pelembap, penyegar muka dan pelindung matahari yang dibeli di farmasi sahaja,” katanya. – Agensi