Saturday, April 20, 2024
25 C
Brunei

    -

    ‘Saya hanya mahu kaki saya semula’

    BANGKOK – Periuk api telah diharamkan selama beberapa dekad oleh kebanyakan negara, sejak Perjanjian Pengharaman Periuk Api PBB diterima pakai pada tahun 1997.

    Tetapi di Myanmar, yang tidak menyertai perjanjian itu, penggunaan periuk api telah meningkat sejak tentera merampas kuasa daripada kerajaan yang dipilih secara demokratik pada Februari 2021 dan penentangan bersenjata telah meningkat.

    Periuk api ditanam oleh semua pihak dalam konflik di Myanmar dan mereka bertanggungjawab atas peningkatan korban awam, termasuk jumlah mangsa kanak-kanak yang membimbangkan, menurut penganalisis AP berdasarkan data dan laporan daripada organisasi kemanusiaan, temu bual dengan orang awam, mangsa, keluarga, pekerja bantuan tempatan, tentera yang berpaling tadah dan kumpulan pemantau.

    Pada 2022, angka PBB menunjukkan korban awam akibat periuk api dan senjata yang tidak meletup meningkat hampir 40 peratus.

    Pakar berkata jumlah itu dan pengiraan rasmi lain tidak menunjukkan jumlah yang sebenar disebabkan oleh kesukaran memantau dan melaporkan semasa konflik.

    Walaupun jumlahnya tidak lengkap, pakar bersetuju peningkatan di Myanmar adalah yang terbesar pernah direkodkan.

    Hampir tiada kawasan terlepas daripada ancaman tersebut. Sejak dua tahun lalu, penggunaan periuk api telah merebak ke setiap negeri dan wilayah kecuali ibu kota, Naypyitaw, menurut Landmine Monitor, sebuah kumpulan yang menjejaki penggunaan periuk api global.

    Tentera juga menggunakan orang awam sebagai perisai manusia, amalan yang tersebar luas di negara ini selama beberapa dekad tetapi menimbulkan kebimbangan de-ngan peningkatan insiden periuk api.

    Seorang anggota militia anti-kerajaan mengalihkan periuk api dari tanah berhampiran kawasan lombong tembaga Letpadaung pada 19 Ogos 2022. – AP
    Periuk api yang telah dialihkan pada 19 Ogos 2022. – AP
    Seorang anggota militia anti-kerajaan menyahaktifkan periuk api pada 22 April 2022, yang mereka katakan telah ditanam oleh tentera Myanmar di barisan hadapan di negeri Kayah, Myanmar. – AP
    Gambar mangsa yang kehilangan kakinya akibat letupan periuk api pada Julai 2022. – AP
    Kanak-kanak yang menjadi mangsa periuk api belajar menggunakan anggota kaki palsu yang baharu di Pusat Pemulihan Ortopedik Hpa-An, Wilayah Karen, Myanmar, pada 7 Disember 2022 di mana dia kehilangan kakinya akibat letupan periuk api pada Julai 2022. – AP

    Penganalisis AP mendapati tentera, dikenali sebagai Tatmadaw, memaksa orang ramai berjalan di hadapan tentera untuk meletupkan periuk api yang berpotensi di laluan mereka, melindungi tentera mereka sendiri.

    Tentera Myanmar, yang telah mengakui penggunaan periuk api pada masa lalu, tidak menjawab senarai soalan yang dihantar AP ke e-mel jurucakap rasmi mereka.

    Apabila peperangan sudah habis, periuk api masih dibiarkan. Periuk api yang ditinggalkan boleh mencacatkan atau membunuh mangsa yang terpijak bahan berbahaya tersebut.

    Ini menambah jumlah mangsa untuk tahun-tahun akan datang seperti di negara-negara termasuk Mesir dan Kemboja, orang ramai mati akibat berjuta-juta periuk api yang ditinggalkan lama setelah konflik berakhir.

    “Meninggalkan periuk api yang diaktifkan seperti ini adalah sama seperti melepaskan raksasa,” kata seorang tentera yang berpaling tadah berusia 26 tahun yang bekerja sebagai komander platun jurutera tempur di Myanmar.

    Seperti kebanyakan yang ditemu ramah oleh AP, tentera yang berpaling tadah itu bercakap dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan untuk melindungi dirinya dan keluarganya daripada tindakan balas tentera.

    Periuk api dan senjata yang tidak meletup telah menjadi isu berterusan di Myanmar selama lebih empat dekad. Masalah itu telah meningkat dengan pesat sejak pengambilalihan tentera, dengan penggunaan periuk api yang lebih banyak di lebih banyak bahagian negara, kata Kim Warren, pakar periuk api PBB.

    Pada 2022, 390 orang menjadi mangsa periuk api dan senjata yang tidak meletup di Myanmar, lebih 37 peratus peningkatan daripada 2021, menurut angka yang disusun oleh UNICEF.

    Secara keseluruhan, 102 orang terbunuh dan 288 cedera, dengan kanak-kanak yang berjumlah kira-kira 34 peratus daripada angka tersebut, berbanding 26 peratus pada 2021.

    Namun, Warren berkata, insiden seumpama itu sangat kurang dilaporkan.

    Yeshua Moser-Puangsuwan, pakar Pemantau Periuk Api dari Myanmar, berkata kumpulannya hanya mengira mangsa yang boleh disahkan dengan sahih. Walau demikian, dia juga berkata, “jumlah yang kami kira adalah kurang daripada jumlah yang sebenar.”

    Pakar mengakui jumlah korban mungkin kelihatan kecil, dengan penduduk Myanmar kira-kira 56 juta, tetapi mengatakan peningkatan jumlah mangsa itu meresahkan.

    Pakar amat mengambil berat tentang mangsa terutama daripada kalangan kanak-kanak.

    Ramai yang tidak menyedari betapa bahayanya periuk api dan amunisi yang tidak meletup sehingga ada yang mengambil dan memainkannya.

    Ramai mangsa awam berdepan dengan periuk api semasa rutin harian.

    Pada Mac 2021, dua remaja bekerja di sebuah plot kecil di negeri Shan. Mereka baru sahaja keluar untuk menggali ubi apabila bapa kepada salah seorang budak lelaki itu mendengar bunyi letupan. Dia bergegas membantu tetapi sudah terlambat. Mereka telah dibunuh serta-merta. Mereka terpijak periuk api.

    Bapa, 47, menangis apabila dia kembali ke ladang.

    “Tetapi ini urusan keluarga saya, jadi saya perlu datang ke ladang untuk mencari rezeki,” kata lelaki itu, yang enggan dikenali untuk melindungi dirinya dan kaum keluarganya.

    Ramai mangsa dan keluarga tidak akan tahu siapa yang bertanggungjawab atas letupan itu sama ada Tatmadaw atau kumpulan anti-tentera.

    Seorang anggota militia yang beroperasi di Sagaing berkata kumpulannya telah mengalihkan hampir 100 periuk api yang disangka ditanam oleh tentera dan merancang untuk menggunakannya semula menjadi senjata buatan sendiri.

    “Periuk api adalah senjata yang sangat diperlukan untuk menyerang musuh,” kata anggota itu, yang bercakap melalui telefon dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan berhubung maklumat sensitif itu dan bimbang tentera akan bertindak balas terhadap keluarganya.

    Seorang lelaki di negeri Chin, barat Myanmar menyifatkan bagaimana tentera membawanya, isterinya yang hamil dan anak perempuan mereka yang berusia 5 tahun sebagai tawanan, membuatkan mereka dan 10 orang awam lain berjalan di hadapan, memukul mereka dengan senapang jika mereka enggan.

    “Saya setiap hari berfikir yang saya akan mati pada hari itu,’” kata lelaki itu, yang juga bercakap dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan. Mereka terlepas pada hari tersebut apabila tiada periuk api yang diletupkan semasa perjalanan mereka.

    Pemantau Periuk Api mendokumentasikan kejadian serupa di negeri lain, menyebutnya sebagai pelanggaran besar undang-undang kemanusiaan dan hak asasi manusia antarabangsa.

    Myanmar dan Rusia adalah satu-satunya negeri yang didokumenkan menggunakan periuk api pada 2022, menurut Pemantau Periuk Api.

    Kumpulan itu juga mengesahkan bahawa tentera telah menambah periuk api pada infrastruktur seperti menara telefon mudah alih dan talian elektrik untuk menghalang daripada serangan. Periuk api yang ditanam tentera juga melindungi sekurang-kurangnya dua projek utama yang disokong China iaitu lombong tembaga di Sagaing dan stesen pam saluran paip di timur laut negeri Shan yang merupakan sebahagian daripada inisiatif Jalur dan Laluan China, kata Moser-Puangsuwan.

    “Kami tidak mengetahui situasi sebenar yang awda nyatakan,” kata jurucakap Kementerian Luar Negeri China kepada AP dalam faks. “Projek kerjasama antara China dan Myanmar adalah selaras dengan kepentingan bersama kedua-dua pihak dan telah membawa manfaat kepada rakyat Myanmar.”

    Ia tidak merujuk kepada mana-mana individu yang telah cacat akibat penggunaan senjata berbahaya tersebut. – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...