Saya mampu memandu lebih baik – Alonso

BARCELONA, 7 MEI – Juara dunia dua kali, Fernando Alonso mengakui kepulangan ke Formula Satu akan menjadi ‘cabaran’ tetapi ‘tidak risau’ mengenai prestasinya dengan musim maraton masih berada di peringkat awal.

Alonso, akan menyambut ulang tahun ke-40 pada Julai, mengharungi kempen tidak menentu bersama Alpine, pasukan yang dahulunya dikenali sebagai Pasukan Renault, selepas dua tahun keluar dari sukan tersebut. Semasa musim pembukaan di Bahrain, dia ‘terlebih aksi’ dengan kedudukan kesembilan dalam kelayakan kemudiannya terkeluar dari perlumbaan disebabkan masalah brek.

Di perlumbaan Emilia-Romagno di Imola, dia ‘beraksi hambar’ dengan menduduki tangga ke-15 dalam kelayakan sebelum menamatkan perlumbaan di tangga ke-10. Tiga pusingan di Portimao hujung minggu lalu membawanya menghuni tangga kelapan dari ke-13 di atas litar, berada di belakang rakan sepasukan, Esteban Ocon. Ocon ketika ini menduduki tangga kesembilan dalam kejuaraan manakala Alonso berada di kedudukan ke-12.

“Saya rasa mampu memandu dengan lebih baik dari sebelum ini, tetapi ia tidak penting kerana anda tidak akan berdepan dengan kesukaran dengan memulakan pengembaraan baharu,” Alonso memberitahu sekumpulan kecil media antarabangsa, termasuk AFP, di Grand Prix Portugal minggu lalu.

“Saya tidak merasakan perlumbaan itu menjadi lebih sukar berbanding sebelum ini.”

Alonso, juara dunia 2005 dan 2006, mencatatkan 315 perlumbaan dalam kariernya.

Pengalaman tersebut sangat penting untuk Alpine yang berada di kedudukan pertengahan. – AFP

Fernando Alonso semasa berada di sidang media. Alonso berkata dia mampu memandu dengan lebih baik dan tidak risau mengenai prestasinya ketika ini.- AFP