‘Saya mampu tewaskan rekod Grand Slam’

PARIS, 17 MEI – Novak Djokovic berkata beliau yakin akan menamatkan kerjayanya sebagai pemenang juara Grand Slam terhebat sepanjang masa dan memecah rekod pemain nombor satu di dunia untuk bertahan kedudukan teratas selama beberapa minggu.

Pemain Serbia itu mempunyai 17 kejuaraan utama, tiga di belakang rekod 20 yang dimiliki Roger Federer dan dua di belakang 19 yang dimenangi oleh Rafael Nadal.

Sebelum koronavirus menghentikan musim 2020, Djokovic telah memenangi kejohanan Terbuka Australia kelapan.

“Saya fikir saya masih perlu melakukan sesuatu dalam sukan ini. Saya percaya saya boleh memenangi paling banyak Grand Slam dan memecah rekod untuk bertahan di kedudukan nombor satu untuk beberapa minggu. Ia merupakan matlamat saya,” beritahu Djokovic kepada rancangan televisyen ‘In Depth Graham Bensinger.’

Djokovic telah menduduki ranking teratas selama 282 minggu.

Federer mendahului pada 310 minggu dan Pete Sampras dengan 288.

Bagaimanapun, masa masih memihak Djokovic yang akan menyambut hari jadi ke-33 pada 22 Mei.

Federer akan berusia 39 tahun pada Ogos manakala Nadal menyambut hari jadi ke-34 pada Jun.

Malah Djokovic masih melihat dirinya bermain pada usia 40 tahun. – AFP

Reaksi Novak Djokovic kepada penonton selepas menewaskan pemain Tunisia Malek Jaziri dalam pusingan pertama Kejohanan Tenis Bebas Duti Dubai di Emiriah Arab Bersatu pada 24 Februari 2020. – AFP