Saya mohon maaf – Daiyan Trisha

Daiyan dijangkiti virus COVID-19 di set penggambaran.

Nasib tidak menyebelahi pelakon Daiyan Trisha apabila dia kini positif COVID-19, dipercayai dijangkiti daripada beberapa kru sebuah produksi drama.

Daiyan atau nama sebenarnya Daiyan Trisha Mohd Nasaruddin, 28, yang kini menjalani kuarantin kendiri di rumahnya memaklumkan perkara itu menerusi Instagram baru-baru ini.

Menurut Daiyan dia pada mulanya mengetahui menjadi kontak rapat kru terbabit, namun ujian swab pertama yang dilakukan berstatus negatif.

Namun sehari selepas itu dia berasa tidak sedap badan dan ujian kedua yang dilakukan dia akhirnya disahkan positif virus maut tersebut.

Daiyan dijangkiti virus COVID-19 di set penggambaran. Beliau mohon maaf kepada kontak rapat dengannya. – Agensi

“Saya jalani penggambaran drama Bicara Budi, lepas tu dalam set ada beberapa orang individu disahkan positif dan saya antara kontak rapat.

“Hari Khamis apabila saya dapat tahu, saya masih negatif. Tapi esoknya saya rasa tak sedap badan dan buat lagi sekali ujian… akhirnya positif.

“Sekarang saya kuarantin sendiri di rumah, setakat ini Alhamdulillah keadaan saya baik,” katanya kepada wartawan.

Bagaimanapun dia tidak mengalami simptom yang teruk selain batuk, sakit tekak dan pening kepala.

Penggambaran juga terpaksa dihentikan buat sementara waktu sehingga semua kru dan pelakon selesai menjalani kuarantin kendiri.

“Simptom yang saya alami adalah ringan. Batuk-batuk, sakit tekak dan pening kepala. Saya tak rasa risau sangat insya Allah.”

“Saya juga dah maklumkan kepada rakan-rakan (kontak rapat) yang ada jumpa dan bekerja dengan saya. Jadi memang penggambaran ini terpaksa dihentikan dulu sampai semuanya habis kuarantin.

“Saya mohon maaf kepada sesiapa yang telah menjadi kontak rapat dan tolong buat ujian swab dengan segera.

“Doakan saya cepat sembuh dan dapat bekerja semula sebab saya suka bekerja. Saya bersyukur atas ujian ini dan yakin semua yang berlaku ada hikmahnya,” ujarnya.- Agensi