LONDON, 14 Sept – Penyerang Arsenal, Olivier Giroud (gambar) mengakui bahawa dia nyaris meninggalkan kelab itu ketika musim tertutup sebelum membuat keputusan untuk kekal kerana ‘kisahnya belum berakhir’.
Pemain antarabangsa Perancis itu telah gugur di belakang rekod penandatanganan kelab dan rakan senegaranya, Alexandre Lacazette dari segi pilihan penyerang musim ini tetapi diturunkan sebagai pemain gantian dalam semua perlawanan Gunner musim ini.
Danny Welbeck juga kelihatannya berada di depan Giroud dalam fikiran pengurus, tetapi penyerang berusia 30 tahun itu kemungkinan besar mendapat peluang jarang untuk bermain awal dalam pertembungan Liga Europa awal pagi Jumaat.
Pengurus Arsene Wenger akan membuat sejumlah perubahan ketika Arsenal bermain dalam kejohanan itu buat pertama kali dalam tempoh 17 tahun, dengan Giroud dijangka antara perubahan itu.
Penyerang itu, yang telah menjaringkan gol kemenangan di saat-saat akhir dalam perlawanan pembukaan Liga Perdana menentang Leicester City, bergelut mengekalkan tempat dalam kesebelasan utama di Stadium Emirates dan mengakui bahawa dia nyaris pergi setelah dikaitkan dengan pasukan seperti Everton dan West Ham United.
Ditanya bagaimana dia nyaris meninggalkan Arsenal, Giroud memberitahu para wartawan di pusat latihan kelab: “Sebenarnya ia adalah keputusan peribadi kerana ia benar saya nyaris meninggalkan kelab kerana saya mahu bermain dengan kerap.
“Tetapi selepas berfikir panjang dengan semua orang di sekeliling saya, seperti keluarga dan kawan-kawan rapat, saya (membuat keputusan) mahu kekal di Arsenal dan saya fikir kisah ini belum berakhir, (belum) berakhir di Arsenal.” – AFP