Thursday, August 18, 2022
23.2 C
Brunei

Saya sudah maafkan mereka – Ebby Yus

-

Pelawak Ebby Yus tidak berkecil hati apabila segelintir warganet menyifatkan musibah menimpa penggiat seni dalam bencana banjir sebagai pembalasan Tuhan.

Bersikap terbuka menelan apa sahaja kecaman dilemparkan, Ebby atau nama sebenar, Muhammad Yunus Abdul Rashid, 56, memaafkan mereka yang melemparkan tuduhan begitu.

“Jika itu yang mereka andaikan, saya terima sahaja kata-kata mereka tanpa simpan dalam hati.

“Sama ada mereka memang bermaksud begitu atau tidak, saya sudah memaafkan diri mereka,” katanya kepada media selepas meninjau tinggalan rumah yang dihanyutkan arus di Kampung Paya Lebar di sini.

Sabtu lalu, pelakon sitkom J.K.K ini ditimpa musibah apabila mahligai dibina hasil titik peluh lebih tiga dekad dalam dunia seni, musnah sekelip mata apabila dihanyutkan air deras.

Ebby Yus tidak berkecil hati apabila segelintir warganet menyifatkan musibah menimpa penggiat seni dalam bencana banjir sebagai pembalasan Tuhan. – Agensi

Rumah yang tinggal 10 peratus untuk disiapkan di tanah setengah ekar di kawasan penempatan itu, dilaporkan dihanyutkan air deras, mengakibatkan Ebby kerugian hampir RM200,000.

Biarpun ramai bersimpati dengan nasib pelakon filem This Is Pilah The Movie ini, namun, tidak kurang juga yang mempertikaikan tindakan Ebby membina rumah di kawasan berbahaya. Mengulas perkara itu, Ebby menafikan lokasi kediamannya itu sebagai berisiko.

“Saya pilih kawasan ini untuk membina rumah bukan sahaja kerana suasana yang cukup tenang, malah cantik.

“Walaupun ada sungai tapi tidaklah besar. Lagipun, saya sudah bertanya kepada tuan punya tanah mengenai latar belakang kawasan ini dan dia maklumkan lokasi ini selamat.

“Saya anggap apa yang berlaku ini adalah takdir. Tidak perlu hendak tuding jari pada sesiapa. Kalau sudah hendak terkena, rumah atas bukit pun boleh dilanda banjir,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ebby mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) atas keprihatinan mereka membantu.

“Saya juga banyak menerima kiriman mesej peribadi daripada rakan artis dan pelbagai pihak yang melahirkan hasrat untuk membantu saya.

“Jika bantuan itu dari FINAS dan SENIMAN, saya akan terima kerana ada kaitan dengan kerjaya seni saya.

“Tetapi jika membabitkan rakan artis atau perseorangan, saya agak keberatan kerana mereka juga ada tanggungan.

“Jangan susahkan diri kerana saya. Selagi saya cukup makan, maknanya saya masih okay,” katanya. – Agensi

- Advertisment -

DISYORKAN UNTUK ANDA

Pelarian Rohingya tuntut persekitaran kondusif

DHAKA, 17 OGOS – Pelarian Rohingya kelmarin menggesa Ketua Hak Asasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Michelle Bachelet yang melawat ke penempatan pelarian untuk PBB...
- Advertisment -