Saya tak serik mahu berkahwin – Marissa

Perjuangan dramatis, Marissa Yasmin, 42, yang terpaksa turun naik mahkamah mempertahankan hak selepas berdepan konflik bersama bekas suami berakhir, baru-baru ini.

Sebelum ini, boleh dikatakan setiap bulan pelakon drama Memori Cinta Suraya berulang alik ke mahkamah bagi menyelesaikan kes samannya sejak hampir lima tahun lalu.

Marissa sah bercerai talak satu dengan Pengurus Jualan Teknologi Maklumat, Muhammad Muhzir Mohd Zainuddin pada 14 Januari 2016. Bagaimanapun, episod perceraian mereka tidak semudah pasangan lain apabila Muhammad Muhzir bertindak mengemukakan empat saman terhadap Marrisa.

Keputusan berpihak kepada Marissa apabila memenangi kes tuntutan kediaman, baru-baru ini.

“Bukan sahaja masa terbuang, malah wang ringgit mengalir bagaikan air apabila perlu membayar kos guaman dan perjalanan ke mahkamah.

Marissa Yasmin tidak serik mahu berumah tangga lagi biarpun diuji dengan konflik hampir lima tahun bersama bekas suami. – Agensi

“Namun, segala ujian yang ditanggung tidak sesekali menjadikan saya wanita lemah, sebaliknya semakin teguh berdiri. Selama ini, saya tidak suka mencanang kemelut yang berlaku.”

Marissa atau nama sebenarnya, Marissa Yasmin Mariam Yaakob berkata, tidak perlu mencanang siapa betul atau salah.

Ditanya adakah serik kembali mendirikan rumah tangga, Marissa berkata, dia tak pernah serik, apatah lagi usianya masih dikira muda dan mahukan lelaki yang menunjukkan keikhlasan dalam perhubungan.

Namun, apa yang membuatkan masih tidak mendirikan rumah tangga selepas hampir lima bertahun bercerai, Marissa berkata, dia tidak mahu menyusahkan pasangan yang mungkin tidak boleh menerima apa yang berlaku.

“Saya tak serik mahu berkahwin andai ditakdirkan bertemu jodoh. Tetapi, saya sentiasa meminta Allah mengurniakan jodoh yang terbaik.” – Agensi