Saya tak takut dengan kritikan – Khai Bahar

Penyanyi Khai Bahar tidak merasa bimbang dengan kritikan warganet yang menganggap dirinya belum cukup layak untuk membuat persembahan di pentas Istana Budaya.

Menurut Khai atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharuddin, 26, dia tidak akan melepaskan peluang yang dianggap impian setiap penghibur untuk membuat persembahan di pentas berprestij itu.

“Saya tak takut dengan kritikan atau pandangan orang terhadap saya sebab apa yang saya nak hanyalah keluar dari kebiasaan. Memang saya masih baru dalam industri tapi orang dah beri peluang.

“Apabila saya ditawarkan untuk membuat konsert di Istana Budaya, sudah tentu saya akan terima. Lagi-lagi peluang itu bukan selalu kita dapat.

“Sesuatu yang sangat besar dalam hidup dan kerjaya saya. Bukan saya sahaja, rasanya semua pengibur mengimpikan dan berangan untuk buat konsert di pentas itu,” kata Khai kepada media.

Konsert Khai Bahar: Dari Smule Ke Pentas Dunia akan diadakan di Istana Budaya pada 27 dan 28 Mac depan. – Agensi

Khai ditemui ketika sidang media Konsert Khai Bahar: Dari Smule Ke Pentas Dunia di Bilik Nilam, Istana Budaya, Kuala Lumpur pada Rabu lepas.

Konsert yang buat julung kalinya di bawah penganjuran produksi pelakon Fauziah Ahmad Daud atau lebih popular dikenali sebagai Ogy iaitu Ogy Ventures akan berlangsung selama dua hari iaitu 27 dan 28 Mac depan.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Luluh ini meluahkan rasa syukur dan bertuah diberi peluang menimba ilmu dengan seorang bintang yang mempunyai pengalaman yang sangat luas dalam dunia seni.

“Kak Ogy seorang yang sangat dikenali dan saya sangat bersyukur dapat bekerjasama dan dalam pada masa yang sama dapat berpeluang menimba ilmu mengenai seni persembahan dengan dia.

“Walaupun saya tahu dia tegas, tapi saya sudah bersedia sebab dia buat semua itu untuk kebaikan. Semua ilmu dia ada untuk berkongsi dengan saya. Kalau tak tegas, kita tak tahu apa kemampuan kita,” ujarnya. – Agensi