‘Saya takut jadi gila balik’

Bekas penyanyi nasyid dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman merayu Mahkamah Majistret membenarkan dia diikat jamin berikutan masalah kesihatan mentalnya yang teruk.

Menurut laporan dari Malaysia Gazette, Yasin, 46, memberitahu prosiding di Mahkamah Petaling Jaya bahawa kesihatannya terjejas dan keadaan bipolarnya mungkin menyerang semula.

“Saya diberi bekalan perubatan (semasa perintah reman) tetapi saya memerlukan ubat tambahan. Saya bimbang kesihatan saya akan terjejas untuk kali ketiga. Saya takut jadi gila balik,” katanya selepas pihak pendakwaan dan pembelaan memberi hujah di Mahkamah Majistret.

Terdahulu, Yasin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan mengusahakan 17 pokok ganja di rumahnya di Kota Damansara pada 24 Mac lalu.

Selain itu, tiada pengakuan direkodkan di Mahkamah Majistret atas pertuduhan mengedar 214 gram ganja. Yasin tiba di mahkamah dengan iringan polis.

Ketika ditemui pemberita, Yasin turut menggesa ahli parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman memperjuangkan hak menggunakan ganja untuk tujuan perubatan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 18 Mei ini. – Agensi

Yasin Sulaiman merayu Mahkamah Majistret membenarkan dia diikat jamin berikutan masalah kesihatan mentalnya yang teruk. – Agensi