Saya tidak marah

Setiap insan pasti mendambakan perubahan dalam hidup dan penyanyi bersuara serak-serak basah, Wann juga memasang niat sama.

Pada usia bakal menganjak 50, tahun depan, Wann turut berusaha ke arah kebaikan dan berharap niatnya untuk bertudung dengan sempurna dipermudahkan.

“Sudah empat tahun saya berselendang dan rasa seperti ada sesuatu yang kurang apabila tidak menutup rambut. Saya juga mahu berubah menjadi insan yang lebih baik dan berusaha ke arah itu perlahan-lahan. Minta doakan saya bertudung dengan lebih sempurna. Lagipun, usia saya bakal menganjak angka 50, tahun depan,” kata pemilik nama lengkap Wan Rashidah Meor Abdul Rashid itu.

Penyanyi yang mula mencipta nama pada akhir dekad 1980an itu pernah dikenali dengan imej seksi, membuatkan dia sering menjadi rebutan untuk menghiasi dada akhbar dan majalah.

Walaupun tampil dengan imej berani, namanya bersih daripada sebarang kontroversi murahan atau gosip liar. Dia mengambil keputusan berhijrah mengikut suami di Singapura selepas mendirikan rumah tangga pada 1993.

“Tidak dinafikan, ada yang tegur kerana saya masih belum bertudung dengan betul. Saya tidak perlu melatah atau marah, sebaliknya berlapang dada menerima teguran itu. Terpulang kepada penerimaan masing-masing, malah jika mahu hentam atau kritik di laman sosial, saya tidak menghalang kerana mereka berhak mengeluarkan pendapat. Saya cuma aminkan sahaja doa mereka yang mahu saya menutup aurat sepenuhnya. Itu sahaja. Buat apa mahu marah?,” katanya. – Agensi

Wann berharap menjadi insan yang baik dan bertudung dengan lebih sempurna. – Agensi