Saya tidak pernah khianati perjuangan rakyat Sabah – Jeffrey Kitingan

KOTA KINABALU, 27 MEI – Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah Datuk Dr Jeffrey Kitingan menegaskan beliau tidak pernah mengkhianati perjuangan rakyat Sabah walaupun partinya telah memberikan sokongan terhadap penubuhan Perikatan Nasional (PN) melalui kerjasama gabungan parti-parti politik.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya itu berkata perjuangan untuk mengembalikan hak-hak Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sentiasa diperjuangkan tidak kira di mana beliau berada.

“Tuduhan (oleh pihak tertentu) saya mengkhianati perjuangan rakyat Sabah tidak betul. Perjuangan itu (kembalikan hak-hak Sabah) saya angkat dan bawa di mana-mana saya pergi. Oleh sebab itu sebagai bukti bila kami menubuhkan kerajaan PN …PN telah bersetuju untuk menubuhkan satu kementerian baharu iaitu Kementerian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak.

“Kementerian baharu itu kami fikir lebih sesuai untuk memastikan hak-hak Sabah dan Sarawak dapat dilaksanakan daripada kabinet komiti …sebab kabinet komiti hanya melakukan perbincangan dan tiada kesudahannya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja di Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni  dan Budaya Sabah, di sini, hari ini. – Bernama

Datuk Dr Jeffrey G Kitingan mengadakan sidang media selepas mengunjungi pejabat Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Kota Kinabalu, kelmarin. – Bernama