Sazali Saidon terajui skuad Rusa

SEREMBAN, 19 DIS – Bekas jurulatih skuad Piala Presiden Negeri Sembilan, Sazali Saidon  dilantik sebagai ketua jurulatih skuad Rusa bagi menghadapi saingan Liga Malaysia 2020.

Perkara itu diumumkan menerusi entri terkini di laman Facebook Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) dan turut disahkan pegawai medianya Firdaus Bhari kepada Bernama di sini, hari ini.

Menurut PBNS, Sazali sebelum ini diberikan kepercayaan membantu penolong jurulatih Negeri Sembilan Zaki Sheikh Ahmad bagi beberapa perlawanan dalam saingan liga musim ini selepas ketua jurulatih pasukan itu, Mat Zan Mat Aris direhatkan.

Selain Sazali, bekas pemain tengah pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Shahurain Abu Samah turut disahkan menyarung semula jersi pasukan Hoben Jang Hoben musim hadapan.

Sebelum ini, Shahurain pernah bersama skuad Rusa pada 2006 hingga 2013, sebelum menyertai Felda United, PKNS dan PDRM. – Bernama