Sazali Saidun yakin FAM buat keputusan terbaik

KUALA LUMPUR, 27 APRIL – Pasukan Liga Premier Negeri Sembilan, akan menerima sebarang keputusan berhubung status Liga Malaysia (Liga-M) 2020, sama ada disambung atau dibatalkan susulan penularan wabak COVID-19.

Ketua jurulatih Negeri Sembilan Sazali Saidun berkata, beliau yakin Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), akan membuat keputusan terbaik berhubung status liga itu, selepas menerima saranan daripada kerajaan, menerusi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Jika diteruskan, saya faham terhadap kepentingan kepada bola sepak tanah air kita dan jika dibatalkan, ia adalah mengambil kira soal keselamatan yang perlu jadi keutamaan.

“Sekarang ini kes COVID-19 semakin menurun dan saya rasa perkara ini juga kita kena teliti, cuma yang jadi masalah utamanya sekarang perkara-perkara seperti pergerakan selaku pasukan pelawat, mungkin akan jadi cabaran utama selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan MFL, hari ini.

Dalam pada itu, Sazali menyifatkan penangguhan Liga-Malaysia memberi hikmah tersendiri kepada pasukan kendaliannya, yang mempamerkan aksi hambar dalam saingan Liga Premier 2020.  Skuad Rusa sekadar meraih satu kemenangan selepas empat perlawanan, sekali gus menghuni tangga ke-10 daripada 12 pasukan.

“Situasi COVID-19 ini memberikan saya sedikit kelegaan dalam memperbaiki serta mencatur kembali strategi pasukan, untuk tempoh akan datang, jadi saya akan gunakan tempoh yang ada ini bagi mengkaji kelemahan tertentu, terutama di bahagian pertahanan yang jadi masalah utama pasukan. – Bernama