SBYLEP ke-7 labuhkan tirai

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 NOV – Program Pertukaran Pemimpin Belia Singapura-Brunei (SBYLEP) ke-7 yang diadakan selama empat hari bermula 16 November lalu telah berakhir, hari ini, dengan majlis penutup secara maya di bilik VIP, Stadium Negara Hassanal Bolkiah.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Turut hadir secara langsung dari Singapura ialah Menteri Negara di Kementerian Kebudayaan, Komuniti dan Belia dan juga Kementerian Perdagangan dan Industri, Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Alvin Tan Sheng Hui serta para peserta dari kedua-dua buah negara.

Pada majlis itu, kedua-dua menteri berkongsi pandangan bahawa SBYLEP adalah platform penting untuk mengeratkan lagi hubungan istimewa di antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura, khususnya dalam memberi peluang kepada para belia dan pemimpin belia untuk berinteraksi.

Mereka menyambut baik tema Masa Depan Tenaga Kerja, kerana ianya bertepatan dan mengambil kira cabaran masa kini melalui globalisasi, kemajuan teknologi yang pesat dan terutamanya kesan pandemik COVID-19 yang tidak dijangka-jangka.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan hadir selaku tetamu kehormat semasa majlis penutup program yang diadakan secara maya.

Kedua-duanya juga bersetuju untuk mempersiapkan belia supaya menjadi lebih inovatif, dinamik dan berdaya tahan serta menerapkan pemikiran untuk sentiasa dapat menyesuaikan diri dan melengkapkan diri dengan kemahiran yang bersesuaian.

Pada majlis itu, para peserta program juga berpeluang untuk mengemukakan pertanyaan kepada kedua-dua menteri mengenai amalan terbaik dari kedua-dua negara dalam perkara-perkara seperti keusahawanan belia, keusahawanan sosial dan masa depan tenaga kerja di kedua-dua buah negara dalam kebangkitan gig economy.

Kemudian, majlis diteruskan dengan sesi perkongsian daripada seorang wakil belia Singapura dan Brunei Darussalam serta sesi dialog bersama peserta-peserta belia Singapura dan Brunei Darussalam.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, program yang dikendalikan bersama Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan Majlis Belia Kebangsaan (NYC) di bawah Kementerian Kebudayaan, Komuniti dan Belia, Republik Singapura itu disertai oleh 40 orang peserta berumur antara 22 hingga 35 tahun dari kedua-dua buah negara dan ia merupakan program strategik bagi kedua-dua buah negara untuk memperkukuhkan hubungan dua hala dengan mempromosikan persefahaman dan perpaduan di antara pempimpin belia generasi yang akan datang dari kedua-dua buah negara