SC Tubular Solutions sumbang 20 komputer riba

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 OKT – Sebanyak 20 unit komputer riba telah disumbangkan oleh SC Tubular Solutions (B) Sdn Bhd kepada Kementerian Pendidikan melalui Kempen Sumbangan Peranti pada 16 Oktober lalu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan, di sini, sumbangan itu disampaikan oleh Penolong Pentadbir Pejabat, SC Tubular Solutions (B) Sdn Bhd, Edmund Ng Konfah kepada Pemangku Pengarah Pendidikan Kokurikulum, Awang Mohammad Norilham bin Haji Jais selaku wakil Kementerian Pendidikan.

Kempen Sumbangan Peranti yang dikendalikan oleh Kementerian Pendidikan dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi serta Pihak Berkuasa Industri Teknologi Infokomunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI) itu dihasratkan untuk membantu pelaksanaan pembelajaran secara dalam talian khusus bagi pelajar-pelajar yang memerlukan.

Edmund Ng (kiri) menyampaikan sumbangan berupa 20 unit komputer riba daripada SC Tubular Solutions (B) kepada Awang Mohammad Norilham bagi mewakili Kementerian Pendidikan pada 16 Oktober lalu. – Gambar serahan Kementerian Pendidikan