BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Julai – Bank Standard Chartered (SCB) akan mengadakan Jerayawara Aplikasi Mudah Alih di Cawangan-cawangan Gadong, Manggis, Tanjung Bunut dan Seria selama dua hari bermula esok (di Cawangan Manggis ia akan diadakan selama tiga hari hingga 30 Julai).
Dalam kenyataan yang dikeluarkan-nya, SCB menjelaskan bahawa jerayawara berkenan adalah selaras dengan pelancaran Aplikasi Mudah Alih Standard Chartered, baru-baru ini, dan ia akan memberikan peluang kepada para pelanggan untuk mengetahui lebih lanjut mengenai aplikasi berkenaan,
Ketua Produk dan Segmen Runcit di SCB, Wong Li Li dipetik sebagai berkata, “SC Mobile App baru memberikan fleksibiliti kepada pelanggan kami untuk membuat perbankan mereka pada masa dan kemudahan mereka sendiri dari mana sahaja.
“Kini, terdapat banyak perkhidmatan yang boleh dilakukan dalam talian dan kami berharap menerusi jerayawara ini, pelanggan kami akan dapat mempelajari lebih mendalam bagaimana SC Mobile App dapat membantu menjimatkan masa mereka dengan fleksibiliti menjalankan transaksi perbankan bila-bila masa dan di mana sahaja menggunakan peranti-peranti mudah alih mereka,” ujarnya lagi.
Kenyataan itu memberitahu, sebagai sebahagian daripada jerayawara berkenaan, pelanggan-pelanggan sedia ada yang mendaftar bagi perbankan dalam talian atau memuat turun SC Mobile App semasa acara berkenaan akan menerima hadiah percuma sementara stok masih ada.


Selain itu, pelanggan yang mendaftar bagi Employee Banking semasa jerayawara itu akan menerima hadiah segera.
Pada masa yang sama, bagi Program Member-Get-Member Standard Chartered, pelanggan akan layak membuat cabutan bertuah segera apabila mereka membawa seorang pelanggan baru bagi permohonan terus.
Hidangan ringan juga disediakan sepanjang hari bagi semua pelanggan dan mereka akan dapat menguji pengalaman Liverpool FC Virtual yang terdapat di Cawangan Gadong dan Manggis.
Bagi maklumat lanjut mengenai jerayawara atau aplikasi berkenaan, orang ramai boleh menghubungi talian hotline 2658000 atau melayari laman sesawang www.standardchartered.com.bn atau mengunjungi mana-mana cawangan bank yang berdekatan.