SCB lancar cawangan KB

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 11 SEPT – Bank Standard Chartered (SCB) Brunei, ahli Kumpulan Standard Chartered, hari ini, telah melancarkan SCB Cawangan Kuala Belait yang telah ditempatkan semula di Bangunan Wisma Hainan, Kuala Belait.

Cawangan berkenaan mengetengahkan ruang serba baharu merangkumi dua tingkat, direka untuk memenuhi standard mereka yang terus berkembang bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan pelancaran cawangan baharu berkenaan ialah Pemangku Timbalan Pengarah Urusan (Undang-undang dan Penyeliaan) Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD), Hajah Rashidah binti Haji Sabtu.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif SCB Brunei, Pengiran Aki Ismasufian bin Pengiran Haji Ibrahim, Pengerusi Lembaga Bandaran Kuala Belait dan Seria, Awang Ridzuan bin Haji Ahmad para pelanggan SCB serta pegawai-pegawai kanan dan kakitangan bank.

Pengiran Aki Ismasufian dalam ucapannya menjelaskan bahawa salah satu cawangan pertama yang dibuka oleh bank berkenaan adalah di Daerah Belait pada Mei 1958.

Beliau berkata, penempatan semula cawangan berkenaan adalah untuk menyediakan ruang baharu pada masa sama mengoptimumkan proses bank untuk memberikan pengalaman pelanggan yang tersendiri dengan fokus terhadap pangkalan pelanggan mewah yang semakin berkembang.

Ini menggambarkan kepentingan Daerah Belait, yang menempatkan beberapa syarikat dan pertubuhan terbesar yang menyumbang kepada ekonomi Brunei.

Beliau turut menekankan bahawa di samping penempatan semula cawangan berkenaan, SCB Brunei juga membuat penambahbaikan dan ciri-ciri baharu sedang dilaksanakan yang akan diperkenalkan dalam beberapa minggu dan bulan mendatang.

Selepas pelancaran, tetamu kehormat dibawa meninjau cawangan baharu berkenaan untuk melihat kemudahan-kemudahan yang terdapat di sana dengan diiringi oleh Pengiran Aki Ismasufian dan Ketua Produk dan Segmen Runcit SCB, Jocelane Basir.

Hajah Rashidah dan Pengiran Aki Ismasufian bersama-sama memotong reben bagi merasmikan cawangan baharu SCB di Kuala Belait.
Tetamu kehormat meninjau kemudahan yang terdapat di cawangan baharu berkenaan.