SCB rai Aidilfitri bersama klien, korporat

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Jun – Lebih 500 orang telah menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Standard Chartered (SCB) yang berlangsung di Royal Berkshire Hall, Jerudong Park & Polo Country Club, hari ini.

Ketibaan para jemputan yang terdiri daripada kalangan pegawai-pegawai kanan kerajaan, para pelanggan, ahli perniagaan, ahli korporat, duta-duta besar dan pesuruhjaya tinggi luar negara yang berada di Negara Brunei Darussalam serta rakan-rakan bank telah dialu-alukan oleh Ketua Pegawai Eksekutif SCB Brunei, Anirvan Dastidar.

Dalam ucapannya pada majlis itu, Anirvan Dastidar antara lain menyatakan bahawa majlis seumpamanya adalah peluang terbaik bagi SCB untuk mengukuhkan lagi hubungan mereka bersama para klien, korporat dan rakan-rakan bank yang lain serta komuniti tempatan yang lain.

Di samping itu, ia juga memberikan peluang kepada SCB untuk mengucapkan dan melahirkan perasaan terima kasih dan penghargaan kepada mereka yang telah pun memberikan sokongan yang berterusan terhadap SCB.

Anirvan Dastidar bergambar ramai bersama sebahagian jemputan pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya SCB di Royal Berkshire Hall, Jerudong Park & Polo Country Club.