SCB semarak Aidilfitri

Oleh Salawati Haji Yahya

Gambar oleh Izah Azahari

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JUN – Kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri terus dirasai dengan adanya rumah terbuka dan pejabat terbuka bagi mengalu-alukan kedatangan tetamu yang terdiri daripada pelbagai peringkat dan masyarakat.

Dalam menyambut kemeriahan suasana Hari Raya yang kini sudah memasuki minggu kedua Syawal, Bank Standard Chartered (SCB), hari ini telah mengadakan majlis terbuka Hari Raya di Tarindak D’Seni, di ibu negara.

Hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin dan diplomat asing ke negara ini serta tetamu khas yang lain.

Turut hadir ialah pegawai-pegawai kanan kerajaan, rakan kongsi, pemegang saham dan pelanggan yang dialu-alukan oleh kakitangan bank berkenaan termasuk Ketua Pegawai Eksekutif SCB Brunei, Pengiran Aki Ismasufian bin Pengiran Haji Ibrahim.

Menurut Pengiran Aki Ismasufian, tahun ini SCB telah menghoskan Majlis Terbuka Hari Raya SCB untuk klien dan tetamu lainnya dalam sama-sama merayakan Hari Raya tahun ini, di mana majlis seumpamanya merupakan acara tahunan dan sebagai tanda penghargaan kepada klien dan pihak berkepentingan atas sokongan berterusan mereka kepada bank berkenaan.

Suasana Majlis Terbuka Hari Raya SCB itu disambut dengan penuh kemeriahan di mana tetamu yang datang dijamu dengan pelbagai hidangan istimewa sambil dihiburkan dengan dendangan lagu-lagu Hari Raya bagi menambah lagi kemeriahan suasana di majlis tersebut.

Pengiran Aki Ismasufian mengalu-alukan Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan pada Majlis Terbuka Hari Raya SCB.
Antara tetamu yang hadir di Majlis Terbuka Hari Raya SCB.
Antara yang hadir menyerikan lagi suasana Majlis Terbuka Hari Raya SCB yang diadakan di Tarindak D’Seni di ibu negara kelmarin.