SCB sumbang 120 buah komputer riba

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 APRIL – Sebanyak 120 buah komputer riba bernilai $70,000 keseluruhannya telah disumbangkan oleh Bank Standard Chartered (SCB) Brunei bersama SCOT dalam menyokong inisiatif Kementerian Pendidikan semasa negara berhadapan dengan pandemik COVID-19.

Hadir menerima sumbangan berkenaan pada majlis yang berlangsung di Ibu Pejabat Kementerian Pendidikan, hari ini, ialah Menteri Pendidikan Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman.

Sumbangan daripada SCB diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif SCB Brunei, Pengiran Aki Ismasufian bin Pengiran Haji Ibrahim dan Presiden SCOT, Awang Ahmad Syauqie bin Haji Satia.

Sejajar dengan program kelestarian Futuremakers Standard Chartered yang memberi fokus kepada pendidikan, pekerjaan dan keusahawanan untuk belia, sumbangan berkenaan akan dapat memberikan bantuan yang sangat diperlukan bagi pelajar daripada keluarga yang kurang berkemampuan untuk meneruskan pembelajaran di rumah.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan SCB, selain komputer riba, pelajar juga akan menerima baucar untuk membeli data daripada vendor penyedia data pilihan mereka melalui SCOT, ini kerana kos penggunaan data untuk pembelajaran di rumah berpotensi menimbulkan cabaran bagi pelajar.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah ketikan menerima sumbangan daripada SCB. – Gambar serahan SCB

Pengiran Aki Ismasufian menyatakan, pihak bank gembira dapat membantu dalam masa sukar dan dapat menyerahkan 120 komputer riba melalui rakan kolaborasi SCOT, untuk memberi manfaat kepada 120 orang pelajar dan memberikan bantuan pendidikan dalam masyarakat.

Kenyataan menjelaskan, Standard Chartered telah melancarkan dana global berjumlah AS$50 juta yang memberikan bantuan kepada mereka yang terjejas akibat wabak COVID-19 dengan AS$25 juta akan segera disumbangkan untuk menyokong bantuan kecemasan di pasaran kumpulan yang paling terjejas.

Sementara itu, tambahan AS$25 juta akan membantu masyarakat dalam jangka masa sederhana untuk pulih daripada kesan ekonomi virus.