SCB terus sokong klien, teroka peluang

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 FEB – Ekonomi global pada 2020 diramalkan akan terus melalui pertumbuhan stabil yang diunjurkan pada kadar 3.3 peratus.

Dalam hubungan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Standard Chartered (SCB) Brunei, Pengiran Aki Ismasufian bin Pengiran Haji Ibrahim melahirkan perasaan optimis dengan pertumbuhan dan pembangunan Negara Brunei Darussalam pada 2020, semasa menyampaikan kata alu-aluannya pada Taklimat Penyelidikan Global yang berlangsung di Dewan Indera Samudra, The Empire Brunei, Jerudong, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyampaikan ucaptama di majlis berkenaan ialah Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Dato Seri Paduka Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.

Pengiran Aki Ismasufian menjelaskan bahawa SCB sebagai satu-satunya bank utama antarabangsa yang terdapat di kesemua 10 buah pasaran negara anggota ASEAN akan terus memberikan sokongan kepada klien untuk meneroka peluang-peluang yang ada bukan sahaja di dalam rantau ini tetapi juga dengan pasaran-pasaran koridor yang lain.

Beliau menyatakan bahawa ASEAN terus menawarkan peluang pertumbuhan yang amat besar dan akan terus diberikan tumpuan di rantau ini di mana pihaknya akan terus menyokong serta menyediakan kerjasama yang tepat kepada klien dan pihak-pihak yang berkepentingan supaya mereka akan dapat memanfaatkan sepenuhnya peluang-peluang yang ada.

Dato Seri Paduka Dr Haji Abdul Manaf (kanan) menerima cenderahati yang disampaikan oleh Pengiran Aki Ismasufian.
Para jemputan ketika menghadiri Taklimat Penyelidikan Global yang berlangsung di Dewan Indera Samudra, The Empire Brunei, Jerudong.

Menyentuh mengenai de-ngan peranan yang dimainkan oleh SCB dalam menangani perubahan iklim, beliau menjelaskan bahawa di peringkat skala global, Standard Chartered telah mengambil pendekatan berani ke arah pembiayaan mapan iaitu dengan menyediakan pembiayaan bertanggungjawab dan efisien yang memberi impak positif kepada pembangunan mapan dalam pasaran, menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi jangka panjang serta membolehkan para penduduk, perniagaan dan komuniti mencapai kemakmuran.

Beliau turut mendedahkan bahawa SCB telah melancarkan Bon Mapan pertama mereka yang menumpukan kepada membantu aktiviti-akti-viti kewangan yang menyokong Matlamat Pembangunan Ma-pan dalam pasaran-pasaran baharu di Asia, Afrika dan Timur Tengah.

Taklimat yang membawa tema ‘2020 Global Outlook- The Slow-motion Slowdown’ itu telah dihadiri oleh kira-kira 100 klien korporat dan pihak-pihak yang berkepentingan untuk bank berkenaan yang disampaikan oleh Ketua Ahli Ekonomi ASEAN dan Asia Tenggara, Edward Lee dan taklimat mengenai perkembangan terkini strategi pertukaran asing bertajuk, It’a All About the Buck, yang disampaikan oleh ahli Strategi Pertukaran Asing Asia, Divya Devesh.

Taklimat Penyelidikan Global berkenaan memberikan peluang bagi klien korporat SCB untuk mendapatkan dan mengongsi maklumat serta pandangan mengenai ekonomi pada 2020 daripada ahli ekonomi kanan, penyelidikan dan ahli strategi pertukaran asing rangkaian global bank berkenaan.

Ia juga menyentuh tema-tema signifikan yang mempunyai impak kepada ekonomi, pasaran dan perusahaan para klien bank berkenaan.