Tindakan mengejut pelakon dan pengacara Scha Al-Yahya memadam akaun Instagramnya baru-baru ini menimbulkan tanda tanya dalam kalangan pengikut laman sosial itu.
Bagaimanapun, Scha atau nama sebenarnya Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Alyahya, 37, tampil menjelaskan perkara itu berlaku secara tidak sengaja disebabkan kesilapan teknikal.
Menurut Scha, kesilapan itu berlaku ketika dia ingin membuat pautan akaun perniagaan Facebook kepada akaun laman Instagram miliknya. Kata Scha lagi, dia akan membuka semula laman sosialnya selepas selesai dikemaskini.
“Saya silap ‘deactivated’ akaun sebab nak ‘link’ kan akaun perniagaan Facebook. Kalau nak di cerita panjang pula. Saya ringkaskan, begitulah situasinya.
“Nak terangkan di akaun Awal dan Lara macam tak kena pula. Jadi, saya cuba kemaskini semula dan maklumkan apabila sudah berjaya buat semula,” katanya kepada wartawan.
Akaun yang memiliki lebih lima juta pengikut itu tidak boleh diakses dan warganet mula membuat pelbagai andaian. Ada yang beranggapan ia digodam, malah tidak kurang juga menyifatkan isteri kepada pengacara terkenal, Awal Ashaari itu mahu ‘berehat’ dari media sosial memandangkan sedang hamil.
Scha turut memuat naik status terakhir mengatakan ‘I’ve had enough’ sebelum bertindak menutup akaun Instagram miliknya.
Malah, warganet juga mula meninggalkan pertanyaan di ruang komen suaminya yang juga pengacara tv.
Menerusi laporan media bulan lalu, Awal mendedahkan kelakuan isterinya tidak seperti kebiasaan ketika sedang hamil. – Agensi