Schoenmaker pecah rekod kuak dada 200m

TOKYO, 30 JULAI – Perenang wanita Afrika Selatan, Tatjana Schoenmaker berjaya memecahkan rekod dunia kuak dada 200 meter (m) untuk memenangi emas Sukan Olimpik Tokyo.

Atlet berusia 24 tahun mencatat masa dua minit 18.95 saat (s) untuk memadamkan rekod lama 2:19.11s yang dibuat perenang Denmark, Rikke Moller Pedersen pada 2013.

Perenang Amerika Syarikat (AS), Lilly King menduduki tempat kedua dengan catatan 2:19.92s dan rakan senegaranya, Annie Lazor di tempat ketiga (2:20.84s).

Schoenmaker, yang memenangi perak dalam acara 100m, sudah memberi amaran awal di saringan dengan mencatat masa menghampiri catatan rekod dunia dan dia tidak melakukan sebarang kesilapan dalam pertandingan final.

Lilly bermula dengan pantas dan terlebih dulu berada di depan ketika 50m dan 100m pertama sebelum Schoenmaker mengorak langkah, mengetepikan perenang AS itu untuk terlebih dulu menyentuh dinding kolam renang.

Ia adalah kejayaan pertama perenang wanita Afrika Selatan memenangi emas dalam acara renang sejak 1996, di mana Penny Heyns mengungguli acara 100m dan 200m kuak dada.

Walaupun terlepas emas, ia satu peningkatan buat Lilly yang sebelum ini menduduki tempat ke-12 di Olimpik Rio.

Ia adalah rekod dunia ketiga di kolam renang di Tokyo, namun yang pertama untuk acara individu selepas kuartet wanita Australia mencatat rekod baharu dalam acara 4x100m gaya bebas dan perenang wanita China melakukan perkara sama untuk acara 4x200m gaya bebas. – AFP

Pemenang pingat emas, Tatjana Schoenmaker dari Afrika Selatan bergambar bersama pingat emasnya setelah memenangi final acara renang kuak dada 200m wanita di Sukan Olimpik Tokyo 2020 semalam. – AFP