DAVOS, SWITZERLAND, 19 JAN – Canselor Jerman, Olaf Scholz telah memberitahu anggota kongres Amerika Syarikat (AS) di Davos bahawa Jerman akan membekalkan kereta kebal berat ke Ukraine jika AS menghantar kereta kebalnya juga, seorang ahli parlimen kanan AS memberitahu AFP kelmarin.
Scholz berada di bawah tekanan yang semakin meningkat daripada sekutu Eropahnya untuk membenarkan eksport kereta kebal Leopard buatan Jerman, menjelang mesyuarat sekutu Ukraine pada hari Jumaat untuk membincangkan bekalan senjata baharu.
Selepas bertemu Scholz baru-baru ini di Forum Ekonomi Dunia di Davos, ahli Kongres AS, Gregory Meeks, ahli Demokrat pangkat tertinggi dalam Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Dewan, berkata pemimpin Jerman itu mahu kedua-dua negara bekerjasama.
“Pada asasnya ia mestilah AS dan Jerman. Tidak ada persoalan tentang itu,” kata Meeks kepada AFP apabila ditanya mengenai kedudukan Scholz berkenaan kereta kebal berat.
“Adalah jelas kepada saya bahawa AS dan Jerman mengadakan dialog dan perbualan bahawa mereka akan bertindak bersama.
“Akan ada lebih banyak perbualan dengan Presiden Biden,” tambahnya. – AFP
