Schooling bakal jalani khidmat negara

SINGAPURA, 16 SEPT – Bekas juara Olimpik Singapura, Joseph Schooling (gambar) akan memulakan khidmat negara tidak lama lagi selepas menangguhkannya selama beberapa tahun, kata pegawai hari ini, berikutan prestasi mengecewakan perenang itu di Tokyo.

Schooling mencetuskan sensasi di Rio 2016 apabila dia menewaskan Michael Phelps untuk memenangi acara kuak kupu-kupu 100 meter.

Namun juara Olimpik pertama negara kota itu melucutkan gelarannya setelah gagal melayakkan diri dalam acara yang sama pada Sukan Tokyo yang ditunda pada tahun ini.

Singapura mewajibkan semua rakyat lelaki berusia 18 tahun untuk berkhidmat selama dua tahun dalam tentera, polis atau perkhidmatan kecemasan, satu tanggungjawab yang jarang dilepaskan oleh pihak berkuasa.

Schooling dan Quah Zheng Wen, seorang lagi perenang yang mewakili Singapura pada Olimpik 2016 dan 2020, akan disenaraikan untuk menjalani perkhidmatan negara apabila penangguhan mereka berakhir pada 31 Ogos, kata Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan hari ini.

“Penangguhan sedemikian daripada khidmat negara diberikan kelonggaran untuk atlet luar biasa yang dinilai pemenang pingat berpotensi dalam pertandingan antarabangsa seperti Sukan Olimpik dan yang berupaya membawa kebanggaan kepada Singapura,” kata kementerian.

Schooling, 26, telah menunda khidmat negara selama tujuh tahun. Dia akan disenaraikan sebaik sahaja prosedur yang diwajibkan telah selesai, tambah kementerian. – AFP