Schroder sah sertai Celtics

LOS ANGELES, 11 OGOS – Pemain kelahiran Jerman, Dennis Schroder (gambar) kelmarin berkata bahawa dia menandatangani perjanjian selama setahun dengan Boston Celtics, menamatkan tempoh perkhidmatan setahun bersama Los Angeles Lakers.

“Saya dengan bangganya ingin mengumumkan bahawa musim 2021-2022 ini saya akan bermain untuk Boston Celtics,” tulis Schroder dalam Instagramnya.

“Ini merupakan salah sebuah pasukan terbaik dalam sejarah NBA dan saya berbesar hati untuk menyarung jersi hijau dan putih serta melakukan perkara yang saya gemari. Saya akan bermain setiap malam dan bermain dengan bersungguh-sungguh demi bandar ini. Siapa sudah bersedia?”

ESPN melaporkan bahawa perjanjian ejen bebas Schroder bersama Celtics bernilai AS$5.9 juta dan ia dibuat selepas dia menolak tawaran $85 juta selama empat tahun daripada Lakers pada Mac untuk melihat sama ada dia mampu melakukan dengan lebih baik sebagai ejen bebas.

Pemain berusia 27 tahun itu tiba di Los Angeles untuk ditukar daripada Oklahoma City Thunder sebelum musim lalu.

 

Dia secara purata menjaringkan 15.4 mata bagi setiap perlawanan bersama Lakers dalam masa semusim yang menyaksikan dia terlepas dua minggu dalam kempen kerana protokol kesihatan dan keselamatan COVID-19. Lakers, yang memenangi kejuaraan liga NBA di gelembung kuarantin di Orlando, tersingkir di pusingan pertama playoff 2021 di tangan Phoenix Suns.

Dalam usaha untuk kembali ke puncak, mereka menandatangani bintang Russell Westbrook dari Washington Wizards.

Bersama pasukan Boston, Schroder akan menguatkan pasukan Celtics yang menukar pemain bintang All-Star empat kali, Kemba Walker kepada Oklahoma City. – AFP