Schumacher jalani pembedahan

PARIS, 10 SEPT – Juara dunia Formula Satu (F1) sebanyak tujuh kali, Michael Schumacher kini berada di hospital Georges-Pompidou, Paris, bagi menjalani pembedahan terapi sel, menurut media Perancis Le Parisien.

Jabatan hospital Paris ketika dihubungi AFP, menolak untuk mengesahkan atau menolak khabar tersebut dengan menyatakan ia di bawah peraturan privasi perubatan.

Tetapi menurut Le Parisien, Schumacher, 50, berada di jabatan kardiovaskular dan dirawat oleh pakar bedah, Philippe Menasche, yang digambarkan sebagai ‘pengasas bagi pembedahan sel bagi kegagalan jantung’. “Rawatan akan bermula pada Selasa pagi dan (dia akan) meninggalkan premis tersebut keesokannya,” menurut laporan Le Parisien, yang mendakwa bekas bintang Ferrari itu sudah menerima rawatan di sana sebanyak dua kali pada musim bunga.

Bekas pemandu F1 itu mengalami insiden semasa bermain ski pada Disember 2013 dan tidak banyak maklumat mengenai keadaannya sejak itu.

Dia berada dalam koma selama enam bulan selepas insiden itu dan kemudian dipindahkan dari hospital Grenoble ke Lausanne sebelum kembali ke rumahnya pada September 2014 di mana dia menerima rawatan persendirian.

Schumacher dikhabarkan tidak dapat berjalan atau berkomunikasi dengan baik. – AFP

Gambar fail yang diambil pada 1 September 2012 menunjukkan Michael Schumacher meraikan kejayaannya semasa sesi kelayakan GP Belgium. – AP