Scoot mula penerbangan terus ke Miri tahun depan

MIRI, 2 NOV – Langit bandar ini dijangka lebih sibuk mulai tahun depan apabila Scoot Tigerair Pte. Ltd (Scoot) memulakan penerbangan penumpang secara terus antara Singapura dan Miri.

Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Seri Lee Kim Shin berkata kementeriannya telah mendapat kebenaran daripada Kementerian Pengangkutan Persekutuan dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) berhubung permohonan Scoot untuk mengendalikan penerbangan dua kali seminggu antara Singapura dan Miri bermula pada pertengahan Januari.

“Kerajaan Sarawak mengalu-alukan cadangan Scoot Tigerair Pte Ltd untuk penerbangan terus antara Singapura dan Miri. Ini kerana Miri adalah pintu masuk bahagian utara ke Sarawak dan antara destinasi pelancongan paling popular di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lee berkata adalah tepat pada masanya bagi Scoot beroperasi ke bandar Miri dan bandar lain di Sarawak untuk mengembangkan operasi semasanya iaitu penerbangan tiga kali seminggu antara Singapura dan Kuching.

“Kami percaya jumlah pelawat dari Singapura ke Sarawak akan beransur-ansur kembali normal apabila situasi pandemik COVID-19 bertambah baik dengan kadar vaksin dewasa yang divaksin sepenuhnya melebihi 91 peratus,” katanya.

Lee berkata rancangan Scoot itu diunjur mendapat sambutan dengan pembangunan di Miri kerana Shell Malaysia akan memindahkan ibu pejabat aktiviti huluannya ke bandar itu dan dijangka menempatkan kira-kira 2,000 kakitangan di sini untuk mencerminkan keyakinan syarikat dengan Sarawak sebagai destinasi pelaburan pilihan, terutamanya dalam bidang minyak dan sektor gas. – Bernama